Press

Kenyataan Akhbar KPK 29 April 2020 – Operasi Pangea XIII 2020

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada 3 Mac sehingga 10 Mac 2020 yang lalu, Malaysia telah terlibat dalam Operasi Pangea XIII yang merupakan satu tindakan kolektif peringkat antarabangsa terhadap penjualan ubat-ubatan dan produk perubatan yang dijual secara haram. Operasi Pangea XIII ini telah diselaraskan oleh International Criminal Police Organization (INTERPOL) dengan penglibatan polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan dari 90 buah negara. Dalam operasi antarabangsa ini, penutup mulut dan hidung, hand sanitiser yang tidak menepati piawai, ubat antivirus yang tidak sah dan ubat-ubatan yang berbahaya bernilai lebih dari USD 14 juta telah disita dan dirampas. Agensi penguatkuasaan undang-undang yang mengambil bahagian dalam Operasi Pangea ini telah menemui 2,000 pautan dalam talian yang mengiklankan item yang berkaitan dengan COVID-19.

Operasi Pangea XIII merupakan penyertaan Malaysia kali ke-8 semenjak Operasi Pangea dimulakan. Operasi ini memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya termasuk peranti perubatan dan merupakan tindakan penguatkuasaan berasaskan internet yang terbesar seumpamanya diadakan di seluruh dunia. Pada tahun ini, tumpuan diberikan terhadap penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan COVID-19.

Berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun sebelumnya, operasi pada tahun ini menunjukkan peningkatan sekitar 18% dalam rampasan ubat antivirus yang tidak sah, dan peningkatan lebih daripada 100% dalam rampasan hydroxychloroquine dan chloroquine yang tidak dibenarkan, yang juga dikaitkan dengan wabak COVID-19. Operasi ini telah menutup lebih daripada 2,500 pautan web, termasuk laman web, laman media sosial, tapak pasar dalam talian dan iklan dalam talian (e-marketplace) yang menjual ubat-ubatan terlarang. Usaha gabungan pihak berkuasa seluruh dunia juga telah dapat membanteras aktiviti 37 kumpulan jenayah terancang.

Di Malaysia, operasi ini telah melibatkan kerjasama antara KKM dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pos Malaysia, pihak kurier dan juga platform e-marketplace. Sebanyak 347 laman web peribadi, 360 akaun di laman sosial dan 585 pautan di platform e-marketplace yang didapati menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan.

Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 853 bungkusan pos telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, 79 bungkusan pos yag didapati mengandungi produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas. Antara produk utama yang dikesan dan dirampas adalah kosmetik yang tidak bernotifikasi dan juga produk kesihatan yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM. Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri. Sebanyak 1,026,857 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM 2,554,456.00.

Aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan dan pemeriksaan ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian. Serbuan dijalankan ke atas 50 premis tidak berlesen yang kebanyakannya menjual produk farmaseutikal dalam talian di seluruh negara. Dalam serbuan tersebut, 23,278 produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 633,455.60. Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.

Penekanan turut diberikan ke atas aktiviti meningkatkan kesedaran pengguna tentang risiko dan bahaya pembelian ubat-ubatan secara atas talian di mana sebanyak 196 kempen kesedaran pengguna telah diadakan sepanjang tempoh Operasi Pangea XIII. Antara usaha yang dijalankan adalah sesi temuramah di radio dan hebahan tentang bahaya pembelian ubat-ubatan dalam talian di media sosial Cawangan Penguatkuasa Farmasi negeri.

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM masih lagi meneruskan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dalam talian walaupun setelah Operasi Pangea berakhir. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan iaitu dari 18 Mac 2020 sehingga 20 April 2020 yang lalu, sebanyak 38 aduan berkenaan ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang mempunyai tuntutan rawatan untuk COVID-19 telah diterima. Sejumlah 182 pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang mempunyai tuntutan rawatan COVID-19 telah disaring dan disekat. Manakala 556 notifikasi dikeluarkan kepada  platform e-marketplace  bagi menurunkan penjualan produk-produk tidak berdaftar atas tujuan yang sama.

Punca utama yang dikenal pasti penyebab penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan dicampur palsu dalam talian meningkat adalah berikutan permintaan pengguna di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Wabak COVID-19 telah memberikan peluang penjenayah mengambil kesempatan berdasarkan permintaan yang tinggi untuk produk perlindungan diri dan kebersihan. Oleh itu, pengguna juga perlu memainkan peranan untuk cakna dalam memastikan ubat-ubatan yang dibeli adalah selamat, berkualiti dan berkesan.

 

Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

29 April 2020

Categories: Press