Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 24 Mei 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 33 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,945 kes (82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

BM DATA KES SETIAP NEGERI 24Mei-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 24 Mei 2020 jam 12:00 tengah hari, terdapat 60 kes baharu yang telah dilaporkan. Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,185 kes. Ingin dimaklumkan daripada 60 kes baru yang dilaporkan, 7 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam (6) kes di sebuah kluster baru di DTI Sepang.

Sehingga kini, terdapat sembilan (9) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI MENGIKUT PROSEDUR STANDARD OPERASI (SOP)

KKM ingin menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia, terutamanya kepada anggota barisan hadapan yang terus berdedikasi bertugas dan berkhidmat untuk Negara pada hari lebaran ini.

Sesungguhnya Ramadan dan Syawal kali ini kita sambut dalam suasana yang berbeza namun penuh bermakna. Ramadan telah dilalui dengan penuh kesabaran. Rata-rata umat Islam di Malaysia telah melakukan pengorbanan, menjalani Ramadan dengan norma dan kebiasaan baharu bagi memastikan jangkitan COVID-19 dapat terus dibendung. Pencapaian ini sewajarnya dipuji dan diteruskan.

Seperti diumumkan sebelum ini, sepanjang Syawal ini tradisi seperti kunjung-mengunjung ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai adalah tidak dibenarkan. Malah, sambutan kali ini dimeriahkan secara tertutup dengan ahli keluarga di rumah masing-masing. Semoga dengan norma dan kelaziman baharu ini, kita dapat sama-sama membendung wabak COVID-19 semasa dan selepas musim perayaan ini. Sesungguhnya perjuangan kita menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum selesai dan ini merupakan salah satu tanggungjawab kita kepada komuniti dan Negara.

Walaupun hari ini merupakan Hari Raya Aidilfitri dan Cuti Umum di Malaysia, ramai anggota barisan hadapan masih bertugas. Jika sebelum ini masyarakat bergantung kepada anggota barisan hadapan untuk membendung penularan COVID-19, kini anggota barisan hadapan pula mengharapkan masyarakat dapat memainkan peranan lebih besar dalam memerangi wabak COVID-19. Dalam doa, takafur, ingatan dan rintihan hati mereka, petugas barisan hadapan sangat berharap agar seluruh masyarakat Malaysia memainkan tanggungjawab sosial dan kawalan kendiri, bagi memastikan SOP dapat dipatuhi dalam tempoh perayaan ini.

Pihak KKM juga ingin mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini untuk melahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan KKM dan sukarelawan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Malaysia (JPAM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pelbagai agensi lain yang komited memberikan perkhidmatan mereka semasa Hari Raya Aidilfitri ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Orang ramai dinasihatkan untuk terus mempraktikkan norma dan kebiasaan baharu semasa sambutan Hari Raya mahupun selepas musim perayaan. Pastikan anda terus mematuhi segala nasihat dan saranan KKM, antaranya:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut (face mask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elak bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Sambutlah perayaan secara tertutup bersama ahli keluarga di rumah sahaja;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, sentiasa ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah PKPB;
  • O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

Sekali lagi, pihak KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua Rakyat Malaysia. Maaf zahir dan batin.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

24 Mei 2020 @ 4.30 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 24 MEI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU *(   ) BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 18
KEDAH 0 96
PULAU PINANG 0 121
PERAK 0 255
SELANGOR 46 1,776
NEGERI SEMBILAN 0 792
MELAKA 0 216
JOHOR 1 (1) 671
PAHANG 0 344
TERENGGANU 0 111
KELANTAN 0 156
SABAH 2 343
SARAWAK 0 545
W.P. KUALA LUMPUR 11 (6) 1,692
W.P. PUTRAJAYA 0 93
W.P. LABUAN 0 16
JUMLAH KESELURUHAN 60 (7) 7,245

 *(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import