Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 26 Jun 2020 – Kejadian Penyakit Malaria Di Tapak Projek Lebuhraya SUKE, Ampang, Hulu Langat, Selangor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, Selangor telah menerima notifikasi satu (1) kes Malaria pada 20 Mei 2020 daripada Hospital Ampang. Pesakit adalah seorang warganegara Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan Jajaran CB1, projek lebuhraya SUKE, Ampang, Hulu Langat, Selangor.

Susulan pelaporan kes tersebut, PKD Hulu Langat telah menjalankan aktiviti pengesanan kes aktif di tapak pembinaan dan taman perumahan berhampiran. Setakat ini seramai 3,017 orang telah disaring melalui ujian slaid darah. Hasil daripada aktiviti saringan ini, sepuluh (10) orang lagi telah dikesan dijangkiti malaria dan kesemua bukan warganegara. Pada masa yang sama, sebanyak tiga (3) kes dikesan di fasiliti kesihatan berdekatan iaitu dua (2) warganegara asing dan seorang warganegara Malaysia. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikesan adalah 14 kes yang terdiri daripada warga Indonesia (9), Bangladesh (3), Nepal (1) dan Malaysia (1). Kesemua kes telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya dan disahkan sembuh.

Jangkitan malaria ini disyaki berpunca daripada salah seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia dan jangkitan telah merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan termasuk seorang warganegara Malaysia. Kes terakhir dilaporkan pada 12 Jun 2020 dan pada masa ini kejadian malaria ini adalah terkawal.

Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, PKD Hulu Langat telah menjalankan aktiviti semburan racun residu di semua rumah kongsi pekerja (193 buah) dan telah memberi perlindungan kepada pekerja melalui edaran sebanyak 340 kelambu berubat.  Di samping itu, tempat-tempat takungan air di kawasan tapak pembinaan dan tempat ditemui jentik-jentik telah dibubuh racun pembunuh jentik-jentik. Aktiviti kawalan malaria juga diperluaskan ke kawasan perumahan berdekatan. Penduduk di kawasan ini telah diberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria.

KKM telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak pengurusan projek pembinaan lebuhraya bagi membincangkan pelaksanan aktiviti kawalan. Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) juga telah dilaksanakan.

KKM menasihatkan individu dan masyarakat di kawasan ini untuk mengambil tindakan berikut untuk mengurangkan risiko jangkitan malaria:

  1. mengelakkan aktiviti di luar rumah pada waktu malam;
  2. mencegah daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila berada di luar rumah; dan
  3. mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam, sejuk dan menggigil.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

 

26 Jun 2020 @ 3:30PM

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: