Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa susulan kejadian wabak polio di Sabah, aktiviti survelan persekitaran untuk virus polio telah diperkukuhkan dengan memperluaskan lokasi persampelan ke 64 lokasi di seluruh negara. Hasil survelan persekitaran tersebut, virus polio telah dikesan di dalam sampel air kumbahan yang diambil di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan disahkan oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia. Walau bagaimanapun, tiada kes di kalangan penduduk WP Labuan setakat ini berdasarkan survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan saringan 41 orang kanak-kanak sihat berumur bawah 5 tahun yang dijalankan secara rawak di WP Labuan.
Susulan pengesanan virus polio dalam persekitaran, KKM melalui Jabatan Kesihatan WP Labuan menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi mencegah jangkitan di kalangan penduduk. Kempen ini melibatkan pemberian dua (2) dos vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) yang diberikan secara titisan ke dalam mulut dengan mensasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh WP Labuan.
Semua ibubapa di WP Labuan perlu memastikan anak-anak yang berumur bawah 13 tahun menerima vaksin oral polio seperti yang dinyatakan, mengikut jadual yang dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan WP Labuan. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai kempen imunisasi polio di WP Labuan, ibubapa boleh menghubungi Bilik Gerakan Polio Jabatan Kesihatan WP Labuan di talian 087-596020 atau 087-596160.
Di samping itu, vaksin polio yang diberi secara suntikan dalam bentuk vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen difteria, tetanus, pertussis, polio dan Haemophilus influenzae type b perlu terus diambil mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi daripada jangkitan polio secara optimum. Vaksin oral polio merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan.

Pemberian bOPV semasa Kempen Imunisasi Polio di Sabah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan

Penjarakan sosial diamalkan semasa Kempen Imunisasi Polio di Sabah
Pada masa yang sama, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih meneruskan Kempen Imunisasi Polio di Sabah. Tiada penambahan kes polio di Sabah di mana bilangan kes yang disahkan polio melalui ujian makmal adalah kekal empat (4) kes. Survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan survelan persekitaran untuk virus polio diteruskan di seluruh negara.
Bagi kanak-kanak di negeri selain Sabah dan WP Labuan, ibubapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin polio secara suntikan mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Sekiranya terdapat kanak-kanak yang tercicir suntikan vaksin polio, ibubapa dinasihatkan agar pergi ke mana-mana klinik kesihatan bagi penjadualan semula suntikan vaksin mengikut kesesuaian umur kanak-kanak tersebut.
Basmi Jangkitan Polio, Kembalikan Status Bebas Polio di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
4 Julai 2020
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.