Press

Kenyataan Akhbar KPK 6 Julai 2020 - Tindakan Pendakwaan Atas Kesalahan Menjual Hasil Tembakau Secara Dalam Talian

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Julai 2020 telah mendakwa sebuah syarikat iaitu Redframe Management & Resources atas kesalahan menjual hasil tembakau secara dalam talian (online) di bawah Peraturan 10A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Kesalahan tersebut dikesan berikutan pemantauan berterusan pihak KKM berkaitan penjualan hasil tembakau secara dalam talian. Susulan pemantauan tersebut, satu siasatan serta penguatkuasaan telah dijalankan oleh Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam. Hasil daripada aktiviti ini, KKM mendapati syarikat Redframe Management & Resources telah menjual hasil tembakau dengan pelbagai jenama secara dalam talian dengan harga serendah RM20.00 kepada pelanggan.

Kes ini telah  didakwa  di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 1 Julai 2020 kerana kesalahan penjualan rokok secara dalam talian sebagaimana  Peraturan 10A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.  Penjualan secara dalam talian oleh tertuduh bukan sahaja menyalahi Peraturan yang ditetapkan malahan ia telah menyebabkan hasrat kerajaan untuk menyekat kebolehdapatan hasil tembakau terutama kepada golongan remaja di bawah 18 tahun terhalang.

Mahkamah telah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan dan menjatuhkan hukuman denda RM2,500.00 atau 1 tahun penjara. Sabitan hukuman ini adalah sebagai satu bentuk teladan dan pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama. Tertuduh yang tidak diwakili peguambela telah mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak RM2,500.00.

KKM amat komited di dalam membanteras penjualan hasil tembakau secara dalam talian dan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa tetap dijalankan.  Pemantauan ini diperketatkan  terutama ketika negara menghadapi wabak pandemik COVID-19 di mana penjualan secara dalam talian menjadi pilihan utama.

Screen Shot 2020-05-31 at 6.19.08 PM

Adalah diharapkan dengan hukuman yang dikenakan ini akan memberikan pengajaran kepada semua pihak agar tidak menjalankan urusan penjualan hasil tembakau secara dalam talian sewenang-wenangnya.   Perbuatan menjual hasil tembakau secara dalam talian perlu dikawal agar orang ramai khususnya remaja tidak dapat membeli atau memiliki hasil tembakau dengan mudah dan memberi ruang untuk kebolehdapatan rokok yang menjadi punca gejala merokok masih berlaku di kalangan remaja. KKM memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas secara berterusan.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

6 Julai 2020

 

Categories: Press