Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 8 Julai 2020 - Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat lima (5) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,486 kes (97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM - 8July-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 8 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat ­­­tiga (3) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,677 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 70 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sukacita dimaklumkan bahawa tiada kes penularan di dalam negara yang dilaporkan pada hari ini. Ketiga-tiga kes baharu yang dilaporkan adalah kes import di kalangan warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

Sehingga kini, terdapat dua (2) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu (1) kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

GRAF-NEW-White-Update-case-number-covid-19-01 (3)

KLUSTER COVID-19 TERBESAR DI MALAYSIA TAMAT PADA HARI INI (KLUSTER SERI PETALING)

KKM dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa, kluster COVID-19 terbesar di Malaysia, iaitu Kluster Perhimpunan Seri Petaling adalah diisytihar tamat pada hari ini. Kluster ini telah dikesan susulan satu perhimpunan keagamaan yang telah diadakan di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur. Perhimpunan tersebut telah berlangsung selama empat hari (4) iaitu dari 27 Februari sehingga 3 Mac 2020 dan telah dihadiri seramai 16,000 orang (iaitu 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara lain).

Kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 (iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir), iaitu kes ke-131 dan kes ke-136. Mereka adalah warganegara Malaysia dari negeri Pahang dan Negeri Sembilan yang telah hadir perhimpunan tersebut. Kluster ini besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif. Penularan jangkitan COVID-19 melalui kluster ini telah menular ke seluruh negara Malaysia.

SP1

Sehingga 8 Julai 2020, sejumlah 42,023 individu telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini, 3,375 kes positif telah dilaporkan positif COVID-19 (iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia). Kes-kes bagi kluster dan sub-kluster di bawahnya adalah dikesan di 7 buah negeri (Lampiran 2), melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara (perincian adalah dalam Lampiran 3).

Kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu, 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini. Seramai 87 pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah ini, 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan. Seramai 3,341 individu telah sembuh, justeru ini menjadikan kadar pesakit yang telah sembuh 98.9 peratus. Tiada lagi kes aktif dalam kluster ini.

 

Dukacita dimaklumkan bahawa, 34 kematian telah dilaporkan dalam kluster ini (iaitu 28.1 peratus daripada kes kematian COVID-19 di Malaysia). Kes kematian ini terdiri daripada 31 warganegara Malaysia dan tiga (3) bukan warganegara. Jumlah tersebut melibatkan 30 orang lelaki dan empat (4) orang perempuan. Berikut adalah pecahan kes positif dan kes kematian mengikut julat umur:

Jadual: Jumlah Kes dan Kematian Mengikut Pecahan Julat Umur

Julat Umur (Tahun) Bilangan Kes (%) Bilangan Kematian (%)
0 - 19 759 (22.5%) 0
20 - 29 779 (23.1%) 0
30 - 39 487 (14.4%) 2 (5.9%)
40 - 49 397 (11.8%) 3 (8.8%)
50 - 59 469 (13.9%) 7 (20.6%)
60 - 69 370 (10.9%) 12 (35.3%)
70 - 79 93 (2.8%) 10 (29.4%)
80 - 89 21 (0.6%) 0
Jumlah 3,375 34

Sejak dari awal pengesanan kluster ini, Kerajaan telah menjalankan pendekatan tertumpu secara agresif dan meluas melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) bagi kumpulan sasar dalam kluster ini iaitu, peserta dan kontak rapat perhimpunan di Seri Petaling dan pelajar / kakitangan pusat tahfiz / madrasah di seluruh Malaysia. Hasil siasatan dan aktiviti pendekatan tertumpu, KKM telah mengesan sebanyak 17 subkluster dalam kluster ini (Lampiran 4). Implementasi kawalan sempadan antarabangsa juga dapat memastikan tidak berlaku lagi penularan jangkitan COVID-19 yang berpunca dari luar negara.

sp2

Empat (4) bulan telah berlalu sejak kluster ini mula dikesan dan hari ini tamatlah tempoh 28 hari sejak kes terakhir kluster ini dilaporkan (iaitu kes ke-8367) pada 11 Jun 2020 yang lalu. Hari ini sememangnya merupakan hari yang amat bermakna bagi Negara yang telah kita mengharunginya bersama. Pencapaian ini merupakan kejayaan bersama bagi KKM dan agensi-agensi lain yang telah bekerjasama melalui tindakan bersepadu dalam segala pendekatan bagi mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kluster ini. Pihak media juga telah memainkan peranan besar dalam menyebarkan maklumat dan komunikasi risiko berkaitan kluster ini ke seluruh Negara.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Masjid Seri Petaling atas sokongan padu dan bantuan rapat yang telah mereka berikan. Kerjasama yang diberikan oleh semua ahli Jemaah telah banyak membantu dalam tindakan mengesan, membendung dan merawat kes-kes COVID-19. KKM mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, atas sumbangan dan perkhidmatan yang komited dalam pencapaian ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Pihak KKM menyeru agar orang ramai terus kekal waspada dan amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-26 at 3.10.48 PM

  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut - facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

8 Julai 2020 @ 5.00 petang

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 8 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU *(    ) BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 18
KEDAH 0 97
PULAU PINANG 0 121
PERAK 0 258
SELANGOR 1 (1) 2,066
NEGERI SEMBILAN 0 1,027
MELAKA 0 256
JOHOR 0 694
PAHANG 0 365
TERENGGANU 0 111
KELANTAN 0 157
SABAH 0 378
SARAWAK 1 (1) 573
W.P. KUALA LUMPUR 1 (1) 2,442
W.P. PUTRAJAYA 0 97
W.P. LABUAN 0 17
JUMLAH KESELURUHAN 3 (3) 8,677

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

Bilangan Kes Positif COVID-19 Kluster Seri Petaling Mengikut Negeri Didaftar

NO. NEGERI BILANGAN KES
1. WPKL dan Putrajaya 963
2. Selangor 538
3. Johor 504
4. Sabah 223
5. Perak 171
6. Pahang 169
7. Negeri Sembilan 160

LAMPIRAN 3

Bilangan Kes COVID-19 Kluster Seri Petaling Mengikut Pecahan Kewarganegaraan

NO. NEGARA BILANGAN KES
1. Malaysia 2,550
2. Filipina 169
3. Bangladesh 151
4. Myanmar 140
5. Indonesia 114
6. India 88
7. Pakistan 51
8. Kemboja 22
9. Vietnam 22
10. Thailand 9
11. China 8
12. Kyrgystan 8
13. Brunei 7
14. Nepal 7
15. Nigeria 5
16. Fiji 4
17. Jordan 4
18. Sri Lanka 4
19. Australia 2
20. Singapura 2
21. Amerika Syarikat 1
23. Kenya 1
24. Maldives 1
25. Mesir 1
26. Somalia 1
27. Tunisia 1
28. Yaman 1
Jumlah Kes 3,375

LAMPIRAN 4

Subkluster Bagi Kluster Perhimpunan Seri Petaling

NO. SUBKLUSTER JUMLAH KES
1. Kluster Kg. Sg. Lui 211
2. Kluster Pasar Borong KL 204
3. Kluster Bandar Baru Ibrahim Majid & kawasan sekitar 193
4. Kluster Selangor Mansion 179
5. Kluster Majlis Perkahwinan Bandar Baru Bangi 159
6. Kluster Maahad Darul Uloom Al-Islamia, Sungai Salan 85
7. Kluster Menara Plaza City One 55
8. Kluster Rembau 53
9. Kluster Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar, Ayer Merbau 41
10. Subkluster SP di Kuching 41
11. Kluster Flat PKNS 37
12. Kluster Pasar Besar Jalan Othman 28
13. Kluster Pekan 22
14. Kluster Pasir Gudang Edible Oil (PGEO) 15
15. Kluster Malayan Mansion 13
16. Kluster Madrasah Penanti 11
17. Kluster Pasar Harian Selayang 6
JUMLAH KES 1,353