Press

Kenyataan Akhbar KPK 28 Julai 2020 – Sambutan Hari Hepatitis Sedunia 2020

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan bahawa Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun. Tema sambutan di peringkat antarabangsa ialah “Find the Missing Millions” manakala di Malaysia “MY Missing Millions” dipilih sebagai tema sambutan peringkat kebangsaan. Tema ini dipilih untuk menunjukkan betapa pentingnya untuk mengesan seramai mungkin individu yang dijangkiti Hepatitis bagi membolehkan rawatan segera dapat diberikan.

WHD 2020

Hepatitis adalah satu penyakit keradangan hati akibat jangkitan virus Hepatitis A, B,C, D atau E. Virus Hepatitis A dan E biasanya berjangkit melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dan tidak membawa kepada penyakit yang kronik. Manakala virus Hepatitis B, C dan D yang berjangkit melalui darah atau cecair badan boleh membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati. Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang yang dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seksual. Ia juga boleh berjangkit daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.

Di Malaysia, Hepatitis yang lazim dilaporkan ialah Hepatitis A, B dan C. Kadar notifikasi Hepatitis A adalah rendah walaupun menunjukkan sedikit peningkatan dalam masa 10 tahun yang lalu iaitu 0.1 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2009 kepada 0.3 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2019. Bagi Hepatitis B pula, kadar notifikasi adalah lebih tinggi dan telah menunjukkan peningkatan iaitu daripada 2.1 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2009 kepada 15.3 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2019. Peningkatan juga ditunjukkan bagi Hepatitis C iaitu daripada 3.7 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2009 kepada 10.6 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2019. Peningkatan ini berlaku susulan meningkatnya kesedaran orang ramai terutamanya mereka yang berisiko untuk menjalani ujian saringan bagi tujuan pengesanan dan rawatan awal.

WhatsApp Image 2020-07-28 at 08.15.32

WhatsApp Image 2020-07-28 at 08.15.32 (1)

Bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia ini, KKM menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengelakkan diri daripada risiko jangkitan. Langkah pencegahan terbaik bagi Hepatitis A adalah dengan mengamalkan penjagaan kebersihan yang baik seperti sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun selepas menggunakan bilik air atau memegang benda-benda kotor; dan sebelum menyediakan makanan atau sebelum makan. Selain itu, masyarakat dinasihatkan supaya minum air yang terawat atau yang telah dimasak terutama semasa melawat tempat yang berisiko seperti kawasan yang tidak mempunyai sistem bekalan air, pengurusan najis atau pelupusan sisa yang sempurna, tempat-tempat rekreasi air yang menjadi tumpuan orang ramai dan negara-negara tertentu yang mempunyai kadar penyakit Hepatitis yang tinggi.

WhatsApp Image 2020-07-28 at 08.15.28

Untuk mengelakkan jangkitan Hepatitis B dan C pula, masyarakat dinasihatkan tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan lain-lain kerana ia boleh menyebabkan luka di mana virus boleh menular. Pesakit Hepatitis B dan C juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah. Amalan hubungan seks secara selamat juga dapat mencegah daripada penularan jangkitan. Ibu-ibu yang telah disahkan mendapat jangkitan pula perlu mendapatkan rawatan agar jangkitan kepada bayi semasa kelahiran dapat dicegah. Untuk makluman, Hepatitis C boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan terkini yang boleh diperolehi di hospital dan klinik-klinik kerajaan terpilih.

WhatsApp Image 2020-07-28 at 08.15.26

Bagi mereka yang mempunyai risiko yang tinggi dan terdedah kepada risiko jangkitan Hepatitis B dan C adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan bagi mengesan jangkitan hepatitis dan seterusnya boleh diberikan rawatan awal. Ibubapa dinasihatkan untuk memastikan anak mereka diberi imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Di bawah program ini, vaksin Hepatitis B perlu diberikan sebanyak 3 dos iaitu sejurus selepas bayi lahir, pada umur 1 bulan dan 6 bulan. Pemberian vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas bayi lahir adalah 95% efektif dalam mencegah daripada jangkitan virus Hepatitis B dalam tempoh perinatal.

Sebarang maklumat lanjut mengenai viral hepatitis dan vaksin Hepatitis boleh diperolehi daripada laman sesawang Portal MyHealth dan Infosihat. Khidmat nasihat berkaitan viral hepatitis juga boleh didapati daripada anggota kesihatan di fasiliti kesihatan.

 

Selamat Hari Hepatitis Sedunia 2020

Bersama hapuskan penyakit hepatitis

#MyMissingMillions

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 Julai 2020

Categories: Press