Press

Kenyataan Akhbar KPK 30 Julai 2020 – Operasi Khas Penguatkuasaan Bagi Pelesenan (Ops Lesen)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan hasil Operasi Khas Penguatkuasaan bagi pelesenan (Ops Lesen) Air Mineral Semulajadi (AMS), Air Minuman Berbungkus (AMB), Air dari Mesin Jual Air (MJA) dan ais di pasaran telah dijalankan serentak di seluruh negara pada 21 hingga 23 Julai 2020 lalu. Ops Lesen ini bertujuan bagi memastikan semua premis pengilangan AMS, AMB, Air dari MJA dan ais mempunyai lesen yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya yang dikuatkuasakan oleh KKM.

Hasil Operasi Khas yang dijalankan, sebanyak 1,153 premis pengilangan AMB, AMS, MJA dan ais telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 271 (23.5%) didapati telah mempunyai lesen daripada KKM manakala sebanyak 882 (76.5%) premis pengilangan dan MJA yang masih belum berlesen. Sebanyak 389 MJA telah disita dan sebanyak 4 premis telah ditutup sementara operasi bagi tujuan pembersihan dan permohonan pelesenan. Sementara itu, sejumlah 48 notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis pengilangan dan MJA yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana premis pengilangan AMB, AMS, ais atau pengusaha MJA yang disabitkan kesalahan beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualti Makanan akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa di seluruh negara bagi memastikan kepatuhan terhadap pelesenan bagi premis pengilangan AMB, AMS, MJA dan ais mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Selain itu, pengguna juga dinasihatkan agar membaca label pada produk atau mesin jual air dan melihat Nombor Lesen KKM yang terdapat pada label sebelum membeli air minuman atau ais.

Pengguna disarankan untuk melaporkan sebarang aduan atau penjualan produk air atau ais yang tidak berlesen kepada Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my  atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

      

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 JULAI 2020

Categories: Press