Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 21 Ogos 2020 – Isu Berkaitan Warganegara Perancis dengan Gelang Merah Jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media berkaitan penahanan seorang warga negara Perancis yang memakai gelang merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) oleh Pasukan Gerakan Am (PGA). Syabas diucapkan kepada kepada pihak PGA atas tindakan segera melaporkan kepada Unit Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (UKLTAL) mengenai kes ini dan juga masyarakat setempat yang cakna situasi sekeliling mereka.

Pihak KKM telah menjalankan siasatan dan mengesahkan bahawa individu tersebut adalah warga negara Perancis yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Ogos 2020 jam 8.25 pagi. Beliau termasuk dalam My Second Home Program (MM2H) dan pada awalnya diberi kelonggaran semasa memohon atas talian (online) untuk menjalani kuarantin di kediamannya di Langkawi berdasarkan kepada syarat-syarat MM2H yang telah dikeluarkan pada 25 Jun 2020. Beliau tidak bergejala dan ujian saringan COVID-19 di KLIA mengesahkan beliau negatif COVID-19 sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan penerbangan domestik ke Langkawi.

Namun begitu, memandangkan mulai 24 Julai 2020 Kerajaan telah mewajibkan semula semua pengembara yang tiba di Malaysia untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin, maka syarat mengenai kuarantin di rumah bagi MM2H adalah terbatal. Oleh itu, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, pengembara ini telah ditahan oleh PGA kerana memakai gelang merah jambu yang memberi indikasi statusnya sebagai person under surveilance (PUS) dan berada di kawasan awam. Susulan itu, pengembara ini telah dimasukkan ke stesen kuarantin di Langkawi pada 20 Ogos 2020 jam 7.30 petang.

KKM mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan keprihatinan agensi lain dan rakyat dalam mengawal dan mencegah penularan COVID-19. KKM akan sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respon terhadap pandemik COVID-19 ini dilaksanakan selari dengan keputusan semasa Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 Ogos 2020