Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) di Ibu Pejabat bersama-sama dengan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Melaka telah menjalankan satu operasi pada 13 Ogos 2020 melibatkan seramai 40 Pegawai Penguatkuasaan Farmasi. Operasi ini dijalankan hasil daripada beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik dan acnotin di platform e-dagang serta melalui agen dropship di Kuala Lumpur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan premis yang diserbu.
Melalui risikan yang dilakukan oleh BPF KKM, 7 premis telah diserbu melibatkan rampasan sebanyak 453 item merangkumi produk yang mengandungi steroid dan bahan terlarang lain serta pelbagai produk tidak berdaftar. Jumlah keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM 9.7 juta.
Penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Steroid dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi. Steroid anabolik kerap disalahguna oleh individu untuk tujuan membina otot badan. Selain mampu merosakkan buah pinggang, penggunaaan steroid tanpa pengawasan boleh menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan.
Pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut. Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722. Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut.
Dalam usaha KKM melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan oleh BPF KKM, orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my / ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
24 OGOS 2020
Categories: Press