Food

Kenyataan Akhbar KPK 25 September 2020 – Penguatkuasaan Penjualan Garam Beriodin di Pasaran Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuatkuasa di seluruh negara pada 30 September 2020. Pindaan di bawah peraturan ini mewajibkan semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh Malaysia.

Pindaan peraturan ini adalah susulan daripada hasil dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8-10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin. Selain daripada itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter. Bagi tinjaun melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum. Oleh itu, pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin di kalangan masyarakat memandangkan garam merupakan bahan asas yang digunakan di semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira status pendapatan.

Dalam hal ini, pihak KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah ianya dikuatkuasakan. Kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.

Sebelum ini Peraturan yang sama telah dikuatkuasakan di negeri Sabah dan kini diperluas di seluruh negara. Penggunaan garam beriodin dalam makanan juga didapati tidak akan menjejaskan dari segi kualiti rasa makanan yang disediakan. Pada masa yang sama, pengguna juga diingatkan bahawa pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan di dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain misalnya hipertensi (darah tinggi).

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan dan kualiti  makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 25 September 2020