Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 5 Oktober 2020 - Pelaporan Khusus Satu Kes COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan bahawa pada 5 Oktober 2020, seorang individu yang telah menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober 2020 telah disahkan positif jangkitan COVID-19. Pada ketika itu, memang beliau tidak mengalami sebarang gejala jangkitan COVID-19. Oleh yang demikian, kini beliau telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif COVID-19.

Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan COVID-19. Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak).

Sehubungan itu semua yang hadir ke mesyuarat tersebut telah menjalani saringan kesihatan hari ini serta sampel telah diambil untuk ujian pengesanan jangkitan COVID-19.  Mereka yang dikenalpasti kontak rapat semasa mesyuarat telah diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan. Manakala ahli mesyuarat yang lain pula yang bukan merupakan kontak rapat dikehendaki memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari selama 14 hari dengan menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Mereka telah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.

KKM ingin memohon orang ramai agar tidak khuatir dengan kejadian ini dan tidak membuat sebarang spekulasi. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status jangkitan COVID-19 di Malaysia dari semasa ke semasa secara kenyataan media rasmi KKM. Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sesawang KKM: http://covid-19.moh.gov.my.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 Oktober 2020 @ 4:00 petang