Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan situasi terkini unjuran nilai R bagi penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara.
Untuk makluman, nilai R0 dalam konteks ini adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh kes positif atau hos virus tersebut. Misalnya, jika nilai R0 adalah 4, ini bermakna bahawa setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit ini kepada 4 orang yang lain dalam satu tempoh kebolehjangkitan. Rantaian penularan ini akan berterusan secara mendadak (exponential) jika tiada usaha dijalankan untuk menghentikannya.
Nilai Rt pada sela masa seterusnya boleh menurun sekiranya langkah-langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan bagi membendungnya. Menurunkan nilai Rt kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak. KKM telah memberi pemakluman kepada umum mengenai nilai Rt ini dari semasa ke semasa.
Pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, nilai Rt ketika itu adalah 3.5. Nilai Rt ini telah berjaya diturunkan sehingga 0.3, iaitu susulan impak positif tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan serta pematuhan oleh rakyat kepada Perintah dan SOP yang diperkenalkan.
Malaysia mulai mencatatkan semula nilai Rt yang tinggi pada 7 September 2020 iaitu 1.7. Ini adalah susulan situasi peningkatan kes COVID-19 di negeri Kedah dan Sabah pada ketika itu. Nilai Rt yang tinggi di kedua-dua negeri ini telah memberi kesan besar terhadap nilai Rt negara. Nilai Rt kemudiannya dilihat tidak stabil dan kekal melebihi 1.0.
Gelombang ketiga wabak COVID-19 di Malaysia ini sememangnya lebih mencabar walaupun kita lebih bersedia dari segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam yang dijalankan. Nilai Rt pada permulaan gelombang ketiga 20 September 2020 adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat (4) minggu ianya telah menurun kepada 1.5.
Ini bermakna setakat ini usaha yang dijalankan telah dapat mengelakkan daripada peningkatan kes secara mendadak seperti dalam graf unjuran ini (garisan R = 2.2). Meskipun begitu, jika dilihat pada carta palang ini (iaitu jumlah kes positif COVID-19 yang dilaporkan setiap hari), didapati ianya masih mengikuti garisan unjuran nilai R = 1.5. Oleh itu, boleh dijangkakan kes harian COVID-19 masih akan meningkat tetapi bukanlah secara mendadak.
Unjuran ini amat penting kerana ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi kita berusaha mengawal situasi gelombang ketiga ini. Segala usaha di Kesihatan Awam di lapangan mesti diteruskan dan dilipat gandakan, kawalan pergerakan harus diperketatkan dan rakyat perlu membantu negara dengan duduk di rumah. Rantaian jangkitan COVID-19 mestilah diputuskan. Seperti yang disebut tadi, jika rantaian jangkitan dapat diputuskan ianya akan mengawal penularan dan nilai Rt juga akan turun lebih rendah daripada 1.0 sehingga kurang daripada 0.3.
Kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan agar kita sekali lagi dapat melandaikan lengkung ini. Pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini telah dapat melandaikan lengkung ini dengan cepat, namun ianya juga telah memberi impak yang besar kepada ekonomi negara. Bagi mengimbangi keadaan ini, pendekatan yang diambil Kerajaan adalah dengan melaksanakan PKP Bersyarat tertumpu di beberapa buah negeri di mana masih ada pergerakan bagi sektor ekonomi namun tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Pendekatan ini diharap dapat mengawal penularan COVID-19 dan juga dapat melandaikan lengkung, meskipun ianya mungkin mengambil sedikit masa untuk mencapainya.
Oleh itu, KKM merayu semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing. Dalam pada KKM dan agensi-agensi lain menjalankan tugas, masyarakat diminta terus memberikan sokongan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan. Duduklah di rumah sekiranya tiada urusan di luar. Sekiranya terpaksa dan perlu keluar dari rumah atas urusan penting, masyarakat dipohon untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
18 Oktober 2020 @ 5.00 petang.
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Press
You must be logged in to post a comment.