Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baru disahkan. Ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah empat (4) orang pada tahun 2020. Kumulatif kes rabies di Sarawak sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 sehingga 21 Oktober 2020 adalah sebanyak 26 kes.
Mangsa terbaharu adalah seorang wanita berumur 34 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober 2020 kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima (5) hari sebelum dimasukkan ke wad. Kes ini telah meninggal dunia pada 18 Oktober 2020 jam 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis. Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober 2020. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.
Siasatan mendapati kawasan kediamannya berdekatan dengan tapak pelupusan sampah di mana terdapatnya banyak anjing liar yang berkeliaran. Beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. Anjing peliharaan tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies. Haiwan ini telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian di mana ianya telah menggigit seorang lagi individu. Walau bagaimanapun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut.
KKM ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:
- Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
- Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa negara mengalami pandemik COVID-19;
- Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
- Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
- Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
- Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.
Bagi kes ini, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat penangkapan anjing di kawasan kediaman mendiang. KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
22 Oktober 2020
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.