Press

Kenyataan Akhbar KPK 24 Oktober 2020 – Sambutan Hari Polio Sedunia

Hari Polio Sedunia disambut setiap tahun di seluruh dunia pada 24 Oktober. Pada tahun ini, tema antarabangsa yang dipilih adalah Stories of Progress: Past and Present atau Kisah Kemajuan: Dulu dan Kini. Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut. Sempena Hari Polio Sedunia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin berkongsi perkembangan terkini usaha pencegahan dan kawalan wabak polio di Malaysia.

Hasil daripada Program Pembasmian Polio Kebangsaan, Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada polio pada tahun 2000, dengan kes terakhir dilaporkan pada tahun 1992. Malangnya, selepas 27 tahun, kes polio dilaporkan semula di Sabah pada penghujung tahun 2019 sebagaimana yang diumumkan oleh KKM sebelum ini. Lanjutan daripada itu, langkah kawalan segera telah dijalankan merangkumi pengesanan kes, pengesanan virus di persekitaran dan kempen imunisasi.

Pengesanan Kes Polio Melalui Survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP)

Acute Flaccid Paralysis (AFP) ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio. Dalam aktiviti survelan ini, setiap kes AFP di kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun akan diambil sampel najis untuk mengesan virus polio.

Daripada 1 Januari 2019 hingga 16 Oktober 2020, sebanyak 317 kes AFP telah dilaporkan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, empat (4) kes telah disahkan polio, kesemuanya dilaporkan di negeri Sabah, masing-masing berumur 3 bulan, 3 tahun, 8 tahun dan 11 tahun ketika mereka disahkan dijangkiti polio. Kes yang terakhir mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Januari 2020. Daripada empat (4) kes tersebut, satu (1) kes masih dirawat di hospital kerana memerlukan bantuan pernafasan manakala tiga (3) kes lagi berjalan dengan sokongan kerana masih mengalami lemah anggota kaki.

Pengesanan Virus Polio Melalui Sampel Persekitaran

KKM juga menjalankan persampelan air kumbahan bagi mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran. Daripada 1 Januari 2019 hingga 30 September 2020, sebanyak 558 sampel air kumbahan telah diambil di seluruh negara.  Daripada jumlah tersebut, virus polio telah dikesan dalam 24 sampel air kumbahan yang diambil di Sabah, serta satu (1) sampel air kumbahan yang diambil di WP Labuan. Sampel persekitaran positif yang terakhir dikesan virus polio adalah pada 13 Mac 2020.

Tindakan Pencegahan Dan Kawalan Wabak Polio

Selain menjalankan langkah-langkah pengesanan kes dan virus polio seperti yang dimaklumkan di atas, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio.

Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS) telah dilaksanakan secara beperingkat semenjak 27 Disember 2019. Kempen ini melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh negeri Sabah. Sebanyak dua dos vaksin bivalent oral polio jenis 1 dan 3 (bOPV) dan dua dos vaksin monovalent oral polio jenis 2 (mOPV2) diberikan secara titisan ke dalam mulut. Perintah Kawalan Pergerakan yang dimulakan semenjak 18 Mac 2020 telah memperlahankan aktiviti kempen, namun ianya telah dipergiatkan semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dengan mengambil kira amalan berdasarkan norma baru dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mencegah jangkitan COVID-19.

Dengan peningkatan kes COVID-19 di negeri Sabah sejak kebelakangan ini, sekali lagi, aktiviti kempen secara aktif telah ditangguhkan di kawasan-kawasan yang merekodkan peningkatan kes COVID-19. Dalam usaha untuk memastikan wabak polio dapat dihentikan, risiko penularan jangkitan COVID-19 harus diberi perhatian.

Walaupun terdapat banyak kekangan, liputan kempen adalah baik. Sehingga 19 Oktober 2020, di Sabah, seramai 815,790 (95.6%) orang kanak-kanak di Sabah telah menerima dua (2) dos vaksin bOPV, manakala 687,500 (80.6%) orang kanak-kanak telah menerima dua (2) dos vaksin mOPV2.

Di WP Labuan pula, Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL) telah dijalankan sejak 11 Jun 2020 melibatkan pemberian dua (2) dos vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) dengan mensasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh WP Labuan. Sehingga 19 Oktober 2020, seramai 24,248 orang kanak-kanak telah menerima dua (2) dos vaksin bOPV di WP Labuan.

Di samping itu, pemberian vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) (yang mengandungi komponen antigen polio) kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan di bawah Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan dipertingkatkan di Sabah dan WP Labuan. Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi dari jangkitan polio secara optimum. Vaksin oral polio yang diberikan melalui Kempen Imunisasi Polio merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan. Bagi kanak-kanak di negeri lain pula, ibubapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin lima serangkai tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.

Walaupun negara sedang memerangi pandemik COVID-19, ancaman polio juga perlu diambil perhatian yang sewajarnya oleh rakyat Malaysia. Pastikan anak-anak kita mendapat suntikan vaksin polio mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Sekiranya telah tercicir imunisasi, hubungi klinik berdekatan untuk temujanji dan penjadualan semula mengikut kesuaian umur.

Dalam usaha mengawal wabak polio di negara kita, badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), United Nations Children’s Fund (UNICEF) dan Global Polio Eradication Initiative (GPEI) turut sama membantu Malaysia dan negara-negara lain yang sedang mengalami wabak polio. Kerjasama ini diteruskan agar matlamat untuk mencapai dunia yang bebas polio menjadi kenyataan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua warga KKM terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan WP Labuan yang telah menjadi wira barisan hadapan di dalam merealisasikan objektif kempen imunisasi polio ini. Dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan oleh anda semua bagi memastikan setiap kanak-kanak kita terpelihara daripada jangkitan polio adalah sangat dihargai.

Bersama-sama kita pastikan Malaysia bebas polio. END POLIO NOW.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

24 Oktober 2020

Categories: Press