Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baru disahkan. Ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak pada tahun 2020 ini kepada lima (5) orang. Pertambahan ini juga merupakan kes ke-27 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017.
Kes adalah seorang lelaki berumur 42 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 15 Oktober 2020 kerana mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan. Beliau juga mengalami kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran untuk minum sebelum dimasukkan ke hospital. Kes ini telah meninggal dunia pada 20 Oktober 2020 jam 6.53 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.
Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada kes ini. Beliau ada memelihara tujuh (7) ekor kucing di mana lima (5) ekor telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehari selepas kes ini mengalami gejala. Kesemua kucing ini sihat dan tiada perubahan tingkah laku. Keluarga kes memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam (6) bulan di kawasan lokaliti rumah kes.
Walaupun kes ini tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan, secara umumnya diketahui bahawa jangkitan rabies disebabkan oleh gigitan haiwan terjangkit dengan virus rabies (rabid animal). Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 20 Oktober 2020.
Sarawak masih belum bebas rabies. KKM ingin menasihati orang awam agar segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan liar mahupun haiwan peliharaan; selepas mencuci bahagian tubuh yang digigit menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur. Pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies.
KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
11 November 2020
Categories: Communicable disease, Press