Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baharu disahkan. Ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada enam (6) orang dalam tahun ini dan merupakan yang ke-28 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017.
Kes adalah seorang perempuan berumur 16 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 10 November 2020 kerana mengalami demam selama tiga hari, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif. Beliau turut mengalami aerofobia dan hidrofobia. Kes ini telah meninggal dunia pada 11 November 2020 jam 3.45 petang dengan diagnosa rabies encephalitis. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.
Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada kes ini. Kes hanya mempunyai kesan cakaran yang telah sembuh di kaki kanan tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya. Beliau ada memelihara empat (4) ekor kucing dan satu (1) ekor anjing. Kesemua haiwan peliharaan beliau tidak pernah mendapat vaksinasi namun sehingga kini, haiwan peliharaan tersebut dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku.
Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies pada 12 November 2020 melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan. KKM ingin menasihatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:
- Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
- Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa fasa kawalan pergerakan dalam pandemik COVID-19 ini;
- Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
- Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
- Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
- Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.
KKM dan JKN Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segara dan komprehesif. Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan, dengan mematuhi semua nasihat Kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal. Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan-kawasan awam.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
21 November 2020
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.