Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kes rabies baharu dalam kalangan manusia yang disahkan pada minggu epid 48, menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada lapan (8) orang pada tahun 2020.
Kes rabies ketujuh adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun dengan sejarah digigit oleh anjing di bahagian muka pada 2 November 2020. Beliau terus dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti rabies. Kes telah discaj dalam keadaan sihat pada 6 November 2020. Namun begitu, pada 13 November 2020 sehingga 15 November 2020, kanak-kanak ini mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 November 2020 untuk rawatan lanjut dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 25 November 2020. Kanak-kanak ini sedang dirawat di HUS dan dalam keadaan stabil. KKM mendoakan agar kanak-kanak ini segera pulih seperti sedia kala.
Anjing yang menggigit kanak-kanak ini adalah haiwan peliharaan milik jirannya. Kanak-kanak ini telah digigit ketika cuba menyelamatkan kucing milik neneknya yang diserang oleh anjing tersebut. Anjing ini telah ditangkap oleh pihak Majlis Daerah Bau pada 3 November 2020 dan disahkan positif virus rabies pada 18 November 2020.
Kes rabies kelapan pula adalah seorang lelaki berusia 58 tahun yang telah dimasukkan ke wad di Hospital Lundu pada 19 November 2020 dengan gejala sakit dan lemah badan selama tiga (3) hari. Beliau juga mengadu sakit tekak dengan kesukaran untuk makan dan minum. Kes telah dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak pada 21 November 2020 apabila keadaan kesihatannya bertambah teruk. Beliau telah meninggal dunia pada 25 November 2020 dengan diagnosa rabies meningoencephalitis. Diagnosa disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh IMR pada 25 November 2020. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.
Mendiang pernah mempunyai sejarah digigit oleh anjing liar pada dua (2) tahun lepas semasa berburu di dalam hutan. Namun, beliau tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. Kes juga ada membela lima ekor anjing tetapi anjing-anjing tersebut telah disahkan negatif rabies oleh pihak Jabatan Veterinar Sarawak.
Dengan pertambahan dua (2) kes baharu ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun 2020 adalah lapan (8) kes. Pertambahan kes ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 adalah 30 kes dengan 28 kematian. Hanya terdapat dua (2) kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal.
Kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan. KKM ingin menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:
- Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
- SEGERA dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa fasa kawalan pergerakan dalam pandemik COVID-19 ini;
- Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
- Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
- Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
- Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.
KKM dan JKN Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segara dan komprehesif. Semua rakyat Sarawak pula dipohon untuk mematuhi semua nasihat Kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal. Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan-kawasan awam.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
3 Disember 2020
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.