Press

Kenyataan Akhbar KPK 22 Disember 2020 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies baharu dalam kalangan manusia yang disahkan pada minggu epid ke-50, menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada sembilan (9) orang pada tahun 2020.

Kes ini adalah seorang wanita berumur 53 tahun dari daerah Selangau, Sibu yang telah dimasukkan ke wad di Hospital Sibu pada 8 Disember 2020 dengan gejala sesak nafas dan batuk. Beliau juga mengadu sakit tekak, demam dan lemah badan selama tiga (3) hari sebelum dimasukkan ke wad. Beliau telah meninggal dunia pada 15 Disember 2020 dengan diagnosa rabies meningoencephalitis. Diagnosa disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 17 Disember 2020. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

Mendiang pernah digigit oleh anjing peliharaannya di bahagian jari pada bulan Oktober 2020, namun beliau tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. Anjing tersebut telah mati tanpa diketahui sebab kematian beberapa hari selepas menggigit tuannya tetapi ia tidak dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS). Mangsa juga ada membela beberapa ekor anjing dan kucing tetapi kesemua haiwan ini tidak dibawa untuk suntikan vaksin anti-rabies.

Dengan pertambahan satu (1) kes baharu ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun 2020 adalah sembilan (9) kes. Pertambahan kes ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017 sehingga kini adalah berjumlah 31 kes dengan 29 kematian. Hanya dua (2) kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah telah mendapatkan rawatan awal.

Kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan. KKM ingin menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada jangkitan rabies:

  1. CUCI bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  2. SEGERA dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan atau anjing liar, walaupun semasa fasa kawalan pergerakan dalam pandemik COVID-19 ini;
  3. Pastikan anjing peliharaan mendapat SUNTIKAN anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  4. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati BERUBAH tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran. Selain itu laporkan kematian haiwan tanpa sebab kepada DVS untuk siasatan selanjutnya;
  5. LAPORKAN kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  6. Sentiasa mengekalkan tahap KEBERSIHAN diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM dan JKN Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan DVS Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan dilaksanakan dengan segera dan komprehesif. Semua rakyat Sarawak pula dipohon untuk mematuhi semua nasihat Kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal. Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan-kawasan awam.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

22 Disember 2020

Categories: Press