Press

Kenyataan Akhbar KPK 31 Januari 2021 – Sambutan Hari Kusta Sedunia 2021: Bersama Hentikan Kusta

Pada hari Ahad terakhir di bulan Januari setiap tahun, seluruh dunia akan bersama-sama menyambut Hari Kusta Sedunia. Untuk tahun ini, ia jatuh pada 31 Januari 2021. Sambutan ini amat penting di dalam memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa penyakit ini tidak pernah pupus, masih wujud dan boleh menjangkiti mereka yang berisiko.

Hari Kusta Sedunia pada tahun ini juga jatuh sehari selepas sambutan Hari Penyakit Tropikal Terabai (Neglected Tropical Diseases, NTD) Sedunia yang disambut pada 30 Januari setiap tahun. Penyakit Kusta merupakan salah satu penyakit yang tersenarai sebagai NTD dengan kadar prevalen global 0.2 kes bagi setiap 10,000 populasi pada tahun 2018.

Penyakit Kusta adalah sejenis penyakit berjangkit kronik yang berpunca daripada jangkitan bakteria yang dinamakan Mycobacterium Leprae. Kuman ini dijumpai pertama kalinya oleh seorang saintis dari Norway yang bernama G. H. Armauer Hansen pada tahun 1873. Penyakit Kusta turut dikenali sebagai Hansen’s Disease, sempena nama saintis ini. Ia boleh dijangkiti melalui udara dan bukan melalui sentuhan.

Selain daripada kulit, Kusta menyerang saraf periferal, mata dan tisu-tisu di saluran pernafasan, selaput dalaman hidung dan testis. Tanda-tanda seseorang dijangkiti Kusta adalah lesi (lesion) yang tidak gatal di kulit yang berwarna putih seakan-akan panau salap atau berwarna merah tembaga yang bersisik. Ada juga yang menunjukkan penebalan kulit terutamanya di bahagian bulu kening yang menipis / gugur, tulang pipi dan telinga. Serangan di saraf periferal pula akan menyebabkan kelemahan otot dan kecacatan kekal di jari (claw hand), kaki (foot drop), berasa kebas atau hilang deria sentuhan di lesi kulit (anesthetic skin lesion).

Malaysia telah mencapai tahap eliminasi Kusta pada tahun 1994 iaitu dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk. Untuk rujukan, sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kurang dari 1 kes bagi setiap 10,000 penduduk. Berdasarkan pencapaian 5 tahun, Malaysia melaporkan 198 – 213 kes baharu dengan kadar insiden kes Kusta di antara 0.57 – 0.62 kes bagi setiap 100,000 penduduk dan kadar prevalen di antara 0.02 – 0.14 kes bagi setiap 10,000 penduduk. Kontak rapat Kusta khususnya dalam kalangan kanak-kanak adalah di antara golongan yang berisiko dan perlu diberi perhatian.

Penekanan terhadap pengesanan kes secara aktif (active case detection) dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik adalah fokus utama di dalam kawalan dan pencegahan Kusta di Malaysia. Sasaran untuk meningkatkan pengesanan adalah bertujuan untuk mengurangkan beban dan penularan kusta di dalam komuniti yang berisiko melalui pemberian rawatan dan mengurangkan kejadian kecacatan kekal akibat Kusta. Komuniti dan individu yang dibebani Kusta perlu bekerjasama dengan mematuhi arahan yang diberi oleh anggota kesihatan terutama di dalam menjalani aktiviti saringan dan rawatan susulan. Stigma dan diskriminasi adalah antara permasalahan yang masih dihadapi oleh pesakit dan keluarga mereka. Lantas daripada keadaan tersebut, pesakit dan kontak rapat mereka bukan sahaja enggan kelihatan hadir di klinik, malah enggan disaring dan diberi rawatan untuk penyakit Kusta.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menyeru setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat untuk melibatkan diri di dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit Kusta khusus kepada komuniti di lokaliti endemik yang berisiko tinggi. Kegiatan advokasi yang diiringi aktiviti pengukuhan diagnostik, rawatan, latihan dan kebajikan pesakit akan menjadikan kawalan Kusta lebih mantap dan lengkap.

Sama-samalah kita berusaha untuk membasmi atau menipiskan stigma dan diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan Kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia. Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memperkukuhkan semua aktiviti kawalan dan pencegahan dalam setiap aspek di bawah Program Kawalan Kusta Kebangsaan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

31 JANUARI 2021

Categories: Press