Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 25 Februari 2021 – Berita Palsu Mengenai Hospital Serdang Mengutamakan “Influencer” Untuk Pemberian Vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan media atas talian Malaysiakini bertarikh 25 Februari 2021 yang membawa tajuk “Hasrat beri Vaksin pada ‘influencer’, pengurusan kanan hospital terlebih dahulu dipersoal”. Kementerian ingin menafikan berita ini dan ianya adalah palsu dan tidak benar.

Semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak Hospital bercadang untuk memberi vaksin COVID-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain anggota barisan hadapan (frontliners) yang lain. Ketua jabatan klinikal merupakan pakar perunding klinikal bidang masing-masing dan sememangnya terdedah kepada risiko COVID-19 dan kerap mempunyai kontak dengan pesakit mahupun waris semasa menjalankan tugasan. KKM ingin menegaskan bahawa pemberian vaksin akan diberi mengikut keutamaan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Isu ‘memotong barisan’ (cutting queue) bagi mendapatkan vaksin adalah tidak dibenarkan dan ianya akan disiasat untuk tindakan.

Pihak media dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membuat laporan dan hanya melaporkan perkara yang disahkan benar. KKM berharap laporan palsu seperti ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat. Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak dahulu sebelum mempercayai sebarang berita atau menyebarkan kepada orang lain.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

25 Februari 2021 @ 3.30 petang