Press

Kenyataan Akhbar KPK 5 Mac 2021 - Penubuhan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774]

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini mengenai Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774] yang telah diluluskan oleh YB Menteri Kesihatan untuk tarikh penguatkuasaannya bermula pada 1 Julai 2020.

Sebagai latarbelakang, akta ini telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia dan telah diwartakan pada 18 Februari 2016. Akta 774 bertujuan menguatkuasakan pendaftaran dan mengawal selia amalan profesion kesihatan bersekutu di negara ini dengan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia,  pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu dan mengawal selia amalan Profesion Kesihatan Bersekutu serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Terdapat 23 kategori profesion sains kesihatan bersekutu yang merangkumi tiga kumpulan perkhidmatan iaitu klinikal, makmal dan kesihatan awam (Lampiran 1).

Selanjutnya, YB Menteri Kesihatan juga telah melantik anggota Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu (MPKBM) yang pertama pada 9 Julai 2020 untuk tempoh 3 tahun. Seramai 23 profesional yang berkelayakan dan berpengalaman mewakili 23 profesion daripada sektor awam, swasta dan institusi pengajian tinggi telah dipilih. Mesyuarat MPKBM yang pertama telah diadakan pada 6 Ogos 2020 dan mesyuarat MPKBM bilangan kedua telah diadakan pada 21 Disember 2020.

Di antara perkara yang telah dibincangkan dan dipertimbangkan semasa mesyuarat tersebut termasuk hal-ehwal pentadbiran Majlis, terma rujukan anggota Majlis dan penetapan polisi serta standard pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu. MPKBM juga telah memutuskan untuk meneliti semula Jadual Kedua [Seksyen 9 dan 10, Akta 774] dan memperhalusi polisi dan standard kelayakan bagi pendaftaran pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu serta perkara-perkara berkaitan. MPKBM juga telah bersetuju untuk menangguhkan sementara proses pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu dan tarikh permulaan pendaftaran akan dimaklumkan melalui pengumuman rasmi pada masa yang akan ditentukan kelak.

Adalah diharapkan dengan penubuhan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia akan dapat memartabatkan Profesion Kesihatan Bersekutu dan menjamin penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

MERANGKAP PENGERUSI

MAJLIS PROFESION KESIHATAN BERSEKUTU MALAYSIA

5 MAC 2021

LAMPIRAN 1

SENARAI PROFESION KESIHATAN BERSEKUTU

  1. Ahli Audiologi
  2. Ahli Dietetik
  3. Ahli Entomologi (Kesihatan Awam)
  4. Ahli Fisioterapi
  5. Ahli Fizik Perubatan
  6. Ahli Pemakanan
  7. Ahli Psikologi Klinikal
  8. Ahli Sains Klinikal (Biokimia)
  9. Ahli Sains Klinikal (Bioperubatan)
  10. Ahli Sains Klinikal (Embriologi)
  11. Ahli Sains Klinikal (Genetik Perubatan)
  12. Ahli Sains Klinikal (Mikrobiologi)
  13. Ahli Terapi Cara Kerja
  14. Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa
  15. Ahli Terapi Radiasi
  16. Jururadiografi Diagnostik
  17. Juruteknologi Makmal Perubatan
  18. Juruteknologi Pergigian
  19. Pegawai Kesihatan Persekitaran
  20. Pegawai Pendidikan Kesihatan
  21. Pengawai Penyediaan Makanan (Penjagaan Kesihatan)
  22. Pegawai Sains Forensik
  23. Pegawai Sosial Perubatan

Categories: Press