Press

Kenyataan Akhbar KPK 13 Mac 2021 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kes disahkan rabies baharu dalam kalangan manusia di Sarawak. Dukacita diumumkan bahawa kedua-dua kes ini telah meninggal dunia. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua mendiang.

Kes rabies pertama adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun. Beliau menafikan mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh anjing atau haiwan mamalia lain. Namun, beliau pernah menangkap dan membunuh seekor anjing peliharaan di kawasan rumah pekerja kilangnya pada 17 Oktober 2020 selepas anjing ini mengigit dua (2) orang pekerja di situ. Walau bagaimanapun, bangkai anjing tersebut tidak diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut. Pada 31 Januari 2021, beliau telah mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sibu kerana mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah dan sesak nafas. Keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari 2021. Mendiang telah meninggal dunia pada 8 Februari 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies. Diagnosa mendiang disahkan positif rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 6 Februari 2021. Sementara itu, dua pekerja yang telah digigit oleh anjing tersebut telah mendapatkan rawatan awal dan kini masih dalam pemantauan susulan oleh pihak kesihatan.

Kes kedua pula adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun. Pada 5 Mac 2021, beliau telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan. Keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 7 Mac 2021. Berdasarkan sejarah yang diberikan, beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada 26 Disember 2020 di bahagian dada kanan semasa mengendalikan anjing tersebut. Pada hari yang sama, anjing ini telah diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dihapuskan tetapi tiada sampel untuk ujian rabies yang diambil. Mangsa juga tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing peliharaannya. Keputusan ujian Rabies PCR ke atas sampel air liur (saliva) beliau yang telah dijalankan di UNIMAS pada 7 Mac 2021 adalah positif. Mendiang telah meninggal dunia di HUS pada 7 Mac 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies.

Kedua-dua kes ini merupakan dua kes pertama positif rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun 2021. Pertambahan dua (2) kes baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian. Hanya terdapat dua (2) kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal.

KKM ingin menasihati orang awam khususnya di Sarawak agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan apabila mengendalikan anjing atau haiwan lain; iaitu:

i)          sekiranya digigit atau dicakar, cuci bahagian tubuh tersebut menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;

ii)         segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa perintah kawalan pergerakan dalam pandemik COVID-19 ini; dan

iii)        sekiranya haiwan tersebut berubah tingkahlaku termasuk menjadi agresif, jangan cuba menangkap atau menyentuh haiwan tersebut. Laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran untuk tindakan lanjut.

Selain itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan. Laporkan kepada PBT jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal. Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran kerana dikhuatiri dijangkiti rabies oleh anjing yang berkeliaran. Jika haiwan tidak mahu dipelihara, serahkan kepada DVS atau PBT berhampiran, dan tidak melepaskannya di kawasan-kawasan awam.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan akan bekerjasama dengan DVS Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segera dan komprehesif. Semua rakyat Sarawak dipohon untuk mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal; termasuk memastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun daripada klinik veterinar swasta atau Kerajaan yang berhampiran. Hanya dengan pemberian suntikan vaksin anti-rabies kepada anjing-anjing di Sarawak secara berjadual setiap tahun sahaja yang akan dapat mengurangkan insiden rabies dalam kalangan manusia.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

13 Mac 2021

Categories: Press