Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 20 April 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

20 APRIL 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 20 April 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 1,592 kes (356,816 kes kumulatif, 94.0%);
  • Kes baharu : 2,341 kes (379,473 kes kumulatif);
  • Kes import : 7 kes (2 warganegara, 5 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 2,334 kes [2,209 warganegara (94.6%); 125 bukan warganegara (5.4%)];
  • Kes aktif : 21,268 kes;
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 249 kes;
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 95 kes;dan
  • Kes kematian : 3 kes (1,389 kes kumulatif, 0.37%; 2 warganegara; 1 bukan warganegara).

Pada hari ini, Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 600 kes (25.6 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 540 kes (90.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 539 kes (23.0 peratus) dan Kelantan sebanyak 429 kes (18.3 peratus).

Sebanyak empat (4) kes (0.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Jalan Salleh (3 kes) dan Kluster Tembok Sri Aman (1 kes).

Terdapat tiga (3) kes kematian pada hari ini yang melibatkan masing-masing satu (1) kes di Selangor, Sarawak, dan Sabah. Sebanyak dua (2) kes melibatkan warganegara dan satu (1) bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2, manakala ringkasan kes kematian mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 3 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Berikut adalah maklumat terkini berkaitan kluster-kluster di Malaysia sehingga 20 April 2021:

  • Jumlah kluster : 1,541 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 7 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat :1,201 kluster [termasuk tujuh (7) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Industri Sofa, Kluster Andromeda, Kluster Nanga Bulo, Kluster Tapak Bina Jalan Salak, Kluster Industri Sungai Gadut, Kluster Jalan Changkat Jong, dan Kluster Jalan Awang];
  • Jumlah kluster aktif : 340 kluster;
  • Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini : 67 kluster; dan
  • Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Pulai Chondong (79 kes), Kluster Kampung Domis (51 kes), dan Kluster Sungai Rian (47 kes).

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat tujuh (7) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan empat (4) kluster komuniti, dua (2) kluster pendidikan termasuk satu (1) kluster sekolah / institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan satu (1) kluster tempat kerja.

Perincian kluster-kluster baharu adalah seperti di Lampiran 4 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

No.Nama KlusterNegeriKategori Kluster
1Kampung Tengah BetongSarawakKomuniti
2Sungai RianSarawakKomuniti
3Jalan MerantiSelangorKomuniti
4Kluster Taman Dato SenuWP Kuala LumpurKomuniti
5Jalan Pasir Mas - Pohon TanjungKelantanPendidikan
6Jalan Padang LallangPulau PinangSekolah / Institusi Pendidikan KPM
7Hala Kampung JawaPulau PinangTempat Kerja

KES HARIAN COVID-19 SEMAKIN MENINGKAT DI BANYAK NEGARA DI DUNIA

Sehingga 20 April 2021, jumlah kes positif COVID-19 yang direkodkan di seluruh dunia melonjak kepada 142.71 juta kes, dengan angka kematian melebihi 3.04 juta orang menerusi data terbaru yang diterbitkan Pusat Sains Sistem dan Kejuruteraan (CSSE) Universiti Johns Hopkins.

Amerika Syarikat (AS) adalah negara paling teruk terjejas dan berada pada kedudukan tertinggi dari segi jumlah kes dan kematian, masing-masing sebanyak 32,475,043 dan 581,542 kes. Ia diikuti oleh India pada kedudukan kedua tertinggi dengan 15,317,714 kes dan pertambahan sebanyak 96,982 kes baharu. Pada awal tahun 2021, India hanya mencatatkan kurang dari 20,000 kes baharu, namun kes telah melonjak bermula awal April tahun ini.

Indonesia mencatatkan jumlah peningkatan kes COVID-19 yang ketara sejak 14 hari lepas, dengan purata sebanyak 5,453 kes.  Thailand pula merekodkan 1,547 kes baharu COVID-19 dan dua (2) kematian dalam tempoh 24 jam lepas. Jumlah terkini kes baharu itu menjadikan Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes harian COVID-19 dalam masa tiga hari berturut-turut selepas hanya mencatatkan purata kes harian kurang dari 100 kes pada 4 April 2021 lalu.

Situasi peningkatan kes yang sama dapat dilihat di Malaysia di mana kes terkini yang direkodkan adalah berjumlah 379,473 kes dengan pertambahan kes baharu sebanyak 2,341 kes hari ini.

KAEDAH PENGENDALIAN DATA COVID-19 DI KKM

Setiap negara perlu memastikan semua data seharian COVID-19 dan data klinikal kes COVID-19 adalah tepat dan sahih. Oleh itu, sistem pengurusan data yang digunakan perlulah telus dan mempunyai integriti.

Semua keputusan ujian yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital, mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta adalah wajib dimuatnaik ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA). Sistem ini sentiasa dipantau oleh KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan susulan sewajarnya dapat diambil.

Data dari semua negeri diterima selewat-lewatnya pada jam 12 tengah hari oleh pasukan pengurusan data di CPRC Kebangsaan. Seterusnya data ini dianalisa dan diverifikasi sebelum ianya didaftarkan.

Semakan terhadap semua data akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai di CPRC KKM. Data yang telah didaftarkan sebagai data harian Malaysia kemudiannya akan digunapakai untuk Analisa epidemiologi situasi COVID-19 di Malaysia termasuk tren kes, kadar kebolehjangkitan, kluster-kluster COVID-19, kapasiti hospital dan makmal serta keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan. Kesemua maklumat yang telah disemak ini kemudiannya akan disunting untuk penyediaan Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan dan perlu mendapat pengesahan akhir oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

Proses yang sama ini dijalankan setiap hari oleh petugas-petugas di lapangan serta di Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan juga CPRC Kebangsaan. Semua anggota kesihatan yang terlibat dalam pengurusan data di peringkat daerah sehingga ke peringkat kebangsaan adalah tertakluk kepada undang-undang berkaitan dan diwajibkan untuk menjaga kerahsiaan data pesakit-pesakit COVID-19. Oleh itu tidak timbul sebarang kesangsian terhadap sistem pengurusan data COVID-19 dan juga data harian yang dikongsikan KKM kepada umum.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

20 April 2021 @ 5.30 petang.

LAMPIRAN 1

BILANGAN KES COVID-19

MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 20 APRIL 2021, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
SELANGOR539124,585
SABAH8256,992
JOHOR 10243,533
WP KUALA LUMPUR344 (6)40,589
SARAWAK 600 (1)25,129
PULAU PINANG9218,467
NEGERI SEMBILAN1718,023
PERAK3414,138
KEDAH449,173
KELANTAN   4299,167
MELAKA196,948
PAHANG 174,744
TERENGGANU153,918
WP LABUAN12,434
WP PUTRAJAYA31,280
PERLIS3353
JUMLAH KESELURUHAN2,341 (7)379,473

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

Perincian 2,341 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia pada 20 April 2021 adalah seperti berikut: 

  • Sarawak: 600 kes
    • 116 kes daripada kluster-kluster, termasuk 51 kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Kampung Tengah Betong dan Kluster Sungai Rian;
    • 424 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Satu (1) kes import dari luar negara; dan
    • 59 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Selangor: 539 kes 
    • 19 kes daripada kluster-kluster, termasuk dua (2) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Meranti;
    • 375 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 145 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kelantan: 429 kes 
    • 198 kes daripada kluster-kluster, termasuk 26 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Pasir Mas -Pohon Tanjung;
    • 172 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 59 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 344 kes  
    • 17 kes daripada kluster-kluster, termasuk 12 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Taman Dato Senu;
    • 207 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Enam (6) kes import dari luar negara; dan
    • 114 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Johor: 102 kes  
    • 32 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 48 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 22 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pulau Pinang: 92 kes 
    • 16 kes daripada kluster-kluster, termasuk 10 kes daripada kluster-kluster baharu iairu Kluster Jalan Padang Lallang dan Kluster Hala Kampung Jawa;
    • 42 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 34 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Sabah: 82 kes 
    • 15 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 47 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 20 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kedah: 44 kes
    • 15 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 18 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 11 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Negeri Sembilan: 17 kes
    • Lima (5) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • Enam (6) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Enam (6) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perak: 34 kes
    • Tujuh (7) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 23 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Empat (4) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Melaka: 19 kes
    • Satu (1) kes daripada kluster sedia ada;
    • 14 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Empat (4) daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pahang: 17 kes
    • Tiga (3) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • Lima (5) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Sembilan (9) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Terengganu: 15 kes
    • 14 kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
    • Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Tiga (3) kes
    • Dua (2) kesdaripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perlis: Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Labuan: Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

LAMPIRAN 3

Ringkasan tiga (3) kes kematian pada 20 April 2021 adalah seperti berikut:

No. KematianNegeriJantina (warganegara)Umur (tahun)Hospital / Tempat KematianLatar Belakang
1387SarawakLelaki (WN)75Hospital SarikeiPenyakit darah tinggi, dislipidemia, dan buah pinggang kronik
1388SelangorLelaki (WN)71Hospital Sungai BulohPenyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, jantung, buah pinggang kronik, dan paru-paru obstruktif kronik
1389SabahPerempuan (BWN)65Hospital Tawau-

*WN merujuk kepada warganegara dan BWN merujuk kepada bukan warganegara

LAMPIRAN 4

Perincian tujuh (7) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  • KLUSTER KAMPUNG TENGAH BETONG

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Betong di Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-357017) dilaporkan positif COVID-19 pada 9 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana berlakunya penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Tengah, Betong. Sehingga 20 April 2021, sejumlah 381 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER SUNGAI RIAN

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Meradong di Sarawak. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 12 April 2021 hasil saringan bersasar komuniti di Sungai Rian, Bintangor, Meradong. Sehingga 20 April 2021, sejumlah 119 individu telah disaring, di mana 48 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN MERANTI

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Hulu Selangor dan Gombak di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke- 366050) dilaporkan positif COVID-19 pada 15 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah majlis yang diadakan di Jalan Meranti 3A/14, Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Sehingga 20 April 2021, sejumlah 50 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER TAMAN DATO SENU

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kepong dan Titiwangsa  di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke- 377856) dilaporkan positif COVID-19 pada 20 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah majlis sosial yang berlangsung pada 10 April 2021 di Sentul. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di  mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Taman Dato Senu, Kepong. Sehingga 20 April 2021, sejumlah 55 individu telah disaring, di mana 12 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN PASIR MAS - POHON TANJUNG

Kluster pendidikan ini melibatkan daerah Pasir Mas dan Tanah Merah di Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke- 365719) dilaporkan positif COVID-19 pada 14 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan kakitangan dan pelajar-pelajar sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Pasir Mas - Pohon Tanjung, Pasir Mas. Sehingga 20 April 2021, sejumlah 46 individu telah disaring, di mana 28 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN PADANG LALLANG

Kluster sekolah / institusi pendidikan KPM ini melibatkan daerah Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-372390) dilaporkan positif COVID-19 pada 17 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pelajar-pelajar sebuah sekolah yang terletak di Jalan Padang Lallang, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah. Sehingga 20 April 2021, sejumlah 39 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER HALA KAMPUNG JAWA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, dan Seberang Perai Utara di Pulau Pinang. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 5 April 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Hala Kampung Jawa 2, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas, Barat Daya. Sehingga 20 April 2021, sejumlah 286 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.