Communicable disease

Kenyataan Akhbar Bahagian Regulatori Farmasi Negara 21 April 2021 – Isu Kematian Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia Yang Dikaitkan Dengan Vaksin COVID-19

ISU KEMATIAN KAKITANGAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) YANG DIKAITKAN DENGAN VAKSIN COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum akan penularan isu kematian beberapa orang kakitangan KKM yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 di media sosial. Pihak KKM sedang menyiasat akan perkara ini dan makluman akan diberikan kepada umum selepas siasatan selesai.

Umum mengetahui bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah bermula di Malaysia pada 24 Februari 2021 dengan Fasa 1 yang melibatkan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan iaitu petugas kesihatan, pekerja perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan. Kini Fasa 2 pemberian vaksin yang bermula pada 19 April 2021 pula melibatkan baki kumpulan daripada Fasa 1 dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU). Setakat ini, tiada laporan kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19 dilaporkan.

Sehubungan itu, pihak KKM meminta agar orang ramai tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak dikenalpasti sumber dan kebenarannya. Sebarang penyebaran atau perkongsian akan menimbulkan kekeliruan orang ramai. Orang ramai diminta untuk merujuk kepada maklumat sah yang boleh didapati di semua platform rasmi media sosial KKM atau berhubung terus dengan Crisis & Preparedness Response Center (CPRC) di setiap negeri atau layari di laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my/ atau di talian 03-88810200/ 03-88810600/ 03-88810700 bagi mendapatkan info sahih berkenaan vaksin COVID-19.

Sekian, terima kasih.

BAHAGIAN REGULATORI FARMASI NEGARA

21 APRIL 2021 

Categories: Communicable disease, Pharmacy, Press, vaccine

Tagged as: