PERLUASAN SISTEM PENGURUSAN PEMBEKALAN UBAT BAGI PERKHIDMATAN NILAI TAMBAH FARMASI (MyUBAT)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pembangunan Sistem Pengurusan Pembekalan Ubat bagi Sistem Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi atau MyUBAT telah berjaya dilaksanakan dan diperluaskan penggunaannya di seluruh fasiliti Kesihatan KKM bermula 15 April 2021.
Pembekalan ubat di fasiliti farmasi KKM adalah bergantung kepada kestabilan status pesakit dan ketersediaan bekalan stok ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti KKM. Bagi pesakit berpenyakit kronik, pembekalan ubat adalah sama ada untuk tempoh sebulan atau dua bulan untuk menjamin kualiti ubat yang disimpan di rumah, memudahkan pemantauan kejadian kesan sampingan yang tidak diingini, memastikan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat, mengelakkan pembaziran serta mengurangkan risiko berlakunya kesilapan pengubatan akibat stok ubat berlebihan yang boleh disalahguna oleh bukan pesakit.
Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (Value Added Services, VAS) yang dijalankan oleh KKM melalui Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB), perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu (Drive-Through Pharmacy), sistem temujanji melalui kad temujanji, telefon dan aplikasi komunikasi telefon pintar bagi pengambilan ubat, Ubat Melalui Pos (UMP) dan perkhidmatan ‘Locker4U’ telah sedia ditawarkan secara berperingkat oleh fasiliti KKM sejak tahun 2003. Pelaksanaan VAS ini telah dipertingkatkan sepanjang tempoh pandemik berlaku dengan objektif utama adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 terutamanya golongan-golongan rentan disamping menjamin kebolehcapaian pesakit kepada bekalan ubat susulan, mengatasi kesesakan serta waktu menunggu lama di farmasi, beban kos pengangkutan serta kesuntukan masa bagi pesakit terlibat.
Sepanjang tahun 2020, pelaksanaan VAS ini telah memudahkan pengambilan ubat susulan pesakit untuk 34.4% preskripsi susulan berbanding 22.3% bagi tahun 2019. Melalui perkhidmatan UMP yang disediakan, KKM telah meningkatkan keupayaan perkhidmatan ini lebih sekali ganda di mana sejumlah 4.2% preskripsi susulan melalui UMP daripada jumlah keseluruhan berbanding dengan 1.5% preskripsi susulan pada tahun 2019. Langkah-langkah yang telah dijalankan oleh KKM ini telah berjaya mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter farmasi seterusnya mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dikalangan pesakit-pesakit di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selaras dengan perkembangan teknologi terkini, Program Perkhidmatan Farmasi, KKM telah membangunkan sistem MyUBAT untuk membolehkan pesakit memantau bekalan dan penggunaan ubat-ubatan mereka melalui telefon pintar. Selain daripada itu, penggunaan sistem ini juga dapat memudahkan anggota di fasiliti farmasi menguruskan proses pendaftaran dan penyediaan ubat-ubatan susulan di kaunter-kaunter farmasi dengan lebih sistematik.
Sistem MyUbat ini telah diperkenalkan di tujuh (7) fasiliti rintis KKM bermula pada 12 Ogos 2020 iaitu Hospital Ampang, Hospital Melaka, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah, Klinik Kesihatan Kelana Jaya dan Klinik Kesihatan Peringgit. Melalui projek rintis tersebut, sejumlah 14,099 pesakit telah berdaftar dengan sistem ini dan 24,413 preskripsi telah didispens melalui sistem MyUBAT. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat selepas perluasan sistem MyUBAT ke fasiliti-fasiliti kesihatan awam di seluruh negara.
Sehingga kini, sistem MyUBAT menawarkan dua pilihan VAS iaitu pengambilan ubat susulan melalui temujanji dan Ubat Melalui Pos (UMP). Penambahan dua lagi jenis VAS iaitu Pandu Lalu dan ‘Locker4U’ dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun 2021 ini. Bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan UMP, sistem MyUbat telah diintegrasikan dengan sistem Ezisend yang dikendalikan oleh Pos Malaysia Berhad. Ini membolehkan pesakit untuk mengetahui status penghantaran bekalan ubat mereka melalui VAS-UMP selain memudahkan anggota farmasi dalam pengurusan ubat-ubat yang perlu dipos kepada pesakit atau pelanggan.
Selain itu, sistem ini juga adalah dalam proses integrasi dengan Pharmacy Information System (PhIS & CPS) di dua (2) fasiliti KKM iaitu di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Klinik Kesihatan Kelana Jaya. Perluasan fungsi ini adalah agar pengguna boleh mengakses maklumat yang betul mengikut kesesuaian waktu pengguna dan seterusnya dapat mempercapatkan proses pendispensan.
Orang awam boleh memuat turun aplikasi MyUbat melalui aplikasi Google Play, App Store atau AppGallery selain dari mendapatkan maklumat lanjut daripada fasiliti-fasiliti farmasi KKM. KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan tahap perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit bersesuaian misi KKM untuk memastikan sistem kesihatan berkualiti tinggi, berinovatif, dan berteknologi tinggi kepada semua rakyat Malaysia.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
28 April 2021
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.