Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 3 Mei 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

3 MEI 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 3 Mei 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 2,068 kes (385,208 kes kumulatif, 92.3%);
  • Kes baharu :2,500 kes (417,512 kes kumulatif);
  • Kes import : 4 kes (2 warganegara dan 2 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 2,496 kes [2,301 warganegara (92.2%); 195 bukan warganegara (7.8%)];
  • Kes aktif : 30,753 kes;
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 352 kes;
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 186 kes;dan
  • Kes kematian : 18 kes (1,551 kes kumulatif, 0.37%; 17 warganegara, 1 bukan warganegara).

Pada hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 637 kes (25.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 541 kes (84.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Kelantan sebanyak 401 kes (16.0 peratus) dan Sarawak sebanyak 356 kes (14.2 peratus).

Sebanyak tujuh (7) kes (0.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di pusat tahanan iaitu Kluster Jalan Meru Utama.

Terdapat 18 kes kematian pada hari ini yang melibatkan tujuh (7) kes di Selangor, tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua (2) kes di Sarawak dan Kelantan, serta masing-masing satu (1) kes di Negeri Sembilan, Kedah, Johor, dan Sabah. Sebanyak 17 kes kematian melibatkan warganegara dan satu (1) kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2, manakala ringkasan kes kematian mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 3 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Berikut adalah maklumat terkini berkaitan kluster-kluster di Malaysia sehingga 3 Mei 2021:

  1. Jumlah kluster : 1,689 kluster;
  2. Jumlah kluster baharu : 9 kluster;
  3. Jumlah kluster yang telah tamat :1,291 kluster [termasuk tujuh (7) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kalindukan, Kluster Merinding, Kluster Tanjung Genting, Kluster Bunga Tanjung Bendahara, Kluster DTI Jalan Duta, Kluster Jalan Dahlia 22, dan Kluster Taman Komersial]
  4. Jumlah kluster aktif : 398 kluster;
  5. Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini : 74 kluster; dan
  6. Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Padang Tembak (85 kes), Kluster Sebatu (47 kes), dan Kluster Kampung Batu Sembilan (37 kes).


KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat sembilan (9) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan masing-masing tiga (3) kluster komuniti dan kluster tempat kerja, dua (2) kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, serta satu (1) kluster pusat tahanan.

Perincian kluster-kluster baharu adalah seperti di Lampiran 4 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

No.Nama KlusterNegeriKategori Kluster
1Lorong GalingPahangKomuniti
2Jalan Dahlia LimaMelakaKomuniti
3Bunga RayaKedahKomuniti
4Industri Mahkota 2SelangorTempat Kerja
5Jalan Jati IndustriJohorTempat Kerja
6Tok HasTerengganuTempat Kerja
7Jalan BandarJohorPendidikan Lain
8Indera Mahkota DuaPahangInstitusi Pendidikan KPM
9Jalan Meru UtamaPerakPusat Tahanan

SITUASI SEMASA COVID-19 DI MALAYSIA DAN DUNIA YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Sehingga 3 Mei 2021, kes positif COVID-19 yang direkodkan di seluruh dunia telah melonjak kepada 152 juta kes, dengan angka kematian melebihi 3.2 juta (berdasarkan statistik terkini Universiti Johns Hopkins). Amerika Syarikat kekal melaporkan kes tertinggi di dunia (32.4 juta), diikuti oleh India (19.9 juta kes) dan Brazil (14.8 juta kes). Kebanyakan negara di dunia mencatatkan kenaikan mendadak kes jangkitan dan kematian COVID-19 walaupun sebahagian besar telah pun memulakan program imunisasi di negara masing-masing.

Kelesuan pandemik (pandemic fatigue) di seluruh dunia menjadi salah satu penyebab peningkatan kes akhir-akhir ini. Masyarakat mulai lesu, lalu alpa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setelah program imunisasi COVID-19 mula diperkenalkan bermula hujung tahun 2020. Selain itu, kelonggaran beberapa perintah larangan termasuk pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, pembukaan semula sempadan-sempadan negara, penganjuran perhimpunan beramai-ramai telah menyebabkan kes COVID-19 meningkat secara mendadak di kebanyakan negara. Situasi ini menjadi lebih membimbangkan dengan kemunculan mutasi baharu virus SARS-CoV-2.

Situasi yang sama dapat dilihat di Malaysia sejak awal bulan April 2021. Malaysia mencatatkan pertambahan sebanyak 61,984 kes baharu dan 235 kes kematian COVID-19 dalam masa 4 minggu. Seperti diketahui umum, peningkatan kes baharu dan kematian yang mendadak ini telah meningkatkan bebanan sektor kesihatan Negara. Susulan itu, kapasiti hospital telah ditingkatkan dan lebih ramai petugas kesihatan telah dimobilisasikan ke kawasan-kawasan wabak bagi menampung peningkatan jumlah pesakit. Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal / ICU COVID-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Berdasarkan situasi kritikal ini, pelbagai inisiatif telah dan sedang diambil oleh KKM dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan dan swasta bagi membendung penularan wabak COVID-19 menjadi lebih parah di Malaysia iaitu;

  1. Survelan genomik giat dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap lebih banyak sampel kes COVID-19. Menerusi aktiviti ini sebanyak tiga (3) Variant of Concern (VOC) iaitu varian B.1.351, B.1.1.7, dan B.1.1.28 dan satu Variant of Interest (VOI) iaitu B.1.617.1 telah dikenalpasti;
  2. Kawalan sempadan Negara telah diperketatkan dengan menyekat kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan memanjangkan tempoh kuarantin menjadi 14 hari kepada pengembara dari negara-negara yang melaporkan penularan tempatan VOC;
  3. Kawalan sempadan daerah dan negeri diperketatkan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara. Merentasi sempadan adalah bagi tujuan tertentu sahaja dan perlu mendapat kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum membuat perjalanan;
  4. Mempertingkatkan kapasiti hospital dan ICU;
  5. Melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2;
  6. Menggiatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP dengan bantuan pelbagai agensi seperti PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan Bandaraya, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
  7. Memperkasa komuniti dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19 di seluruh negara dengan melancarkan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19); dan
  8. Melancarkan Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia bagi merangka strategi intervensi bersasar dengan berpandukan ramalan ‘hotspot’. Intervensi yang dijalankan boleh dijalankan di lokaliti setempat, daerah, mukim, bahagian, sebahagian daripada negeri ataupun keseluruhan negeri.

Selain itu, KKM juga ingin menyeru semua penduduk Malaysia supaya bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam membendung penularan COVID-19 di Negara kita dengan memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bersatu padu tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dalam menghadapi ujian ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

3 Mei 2021 @ 6.30 petang.

LAMPIRAN 1

BILANGAN KES COVID-19

MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 3 MEI 2021, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
SELANGOR637135,486
SABAH5758,372
JOHOR 20546,105
WP KUALA LUMPUR200 (3)44,369
SARAWAK 35632,047
PULAU PINANG19420,278
NEGERI SEMBILAN9719,009
KELANTAN   40115,075
PERAK5914,949
KEDAH10310,239
MELAKA95 (1)7,584
PAHANG 555,325
TERENGGANU384,457
WP LABUAN02,463
WP PUTRAJAYA31,386
PERLIS0368
JUMLAH KESELURUHAN2,500 (4)417,512

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

Perincian 2,500 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia pada 3 Mei 2021 adalah seperti berikut: 

  • Selangor: 637 kes
    • 87 kes daripada kluster-kluster, termasuk 29 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Industri Mahkota 2;
    • 454 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 96 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kelantan: 401 kes 
    • 140 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 206 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 55 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Sarawak: 356 kes
    • 61 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 231 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 64 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Johor: 205 kes  
    • 50 kes daripada kluster-kluster, termasuk 25 kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Jalan Bandar dan Kluster Jalan Jati Industri;
    • 96 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 59 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 200 kes  
    • 133 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Tiga (3) kes import dari luar negara; dan
    • 64 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pulau Pinang: 194 kes 
    • 43 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 71 kes daripada saringan kontak rapat kes positif    COVID-19; dan
    • 80 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kedah: 103 kes
    • 73 kes daripada kluster-kluster, termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bunga Raya;
    • 16 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 14 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Negeri Sembilan: 97 kes
    • 16 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 56 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 25 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Melaka: 95 kes
    • 60 kes daripada kluster-kluster, termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Dahlia Lima;
    • 23 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Satu (1) kes import dari luar negara; dan
    • 11 daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perak: 59 kes
    • 18 kes daripada kluster-kluster, termasuk tujuh (7)  kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Meru Utama;
    • 31 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 10 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Sabah: 57 kes 
    • 17 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 28 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 12 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pahang: 55 kes
    • 13 kes daripada kluster-kluster, termasuk sembilan (9) kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Indera Mahkota Dua dan Kluster Lorong Galing;
    • 29 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 13 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Terengganu: 38 kes
    • 26 kes daripada kluster-kluster, termasuk 15 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tok Has;
    • Lapan (8) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Empat (4)  kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Tiga (3) kes
    • Dua (2) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1)  kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

LAMPIRAN 3

Ringkasan 18 kes kematian pada 3 Mei 2021 adalah seperti berikut:

No. KematianNegeriJantina / (Warganegara)Umur (Tahun)Hospital / Tempat KematianLatar Belakang
1534WP Kuala LumpurLelaki (WN)61Hospital Sungai BulohPenyakit darah tinggi
1535SelangorLelaki (WN)80Hospital Sungai BulohPenyakit strok dan Addison Disease
1536SarawakPerempuan (WN)87Hospital BintuluPenyakit darah tinggi, strok, dan jantung
1537SelangorLelaki (WN)72Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang-
1538SabahPerempuan (WN)59Hospital KunakPenyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, dan obesiti
1539KelantanLelaki (WN)69Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota BharuPenyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, strok, dan buah pinggang kronik
1540WP Kuala LumpurLelaki (WN)61Hospital SerdangPenyakit darah tinggi
1541KelantanLelaki (WN)29Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota BharuPenyakit darah tinggi, obesiti, dan cellulitis
1542SelangorPerempuan (WN)56Hospital Sungai Buloh-
1543WP Kuala LumpurPerempuan (WN)68Hospital Canselor Tuanku Muhriz, CherasPenyakit jantung, strok, dan buah pinggang kronik
1544KedahPerempuan (WN)52Hospital Sultanah Bahiyah, Alor SetarPenyakit kencing manis
1545SelangorLelaki (WN)58Hospital Shah AlamPenyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, dan strok
1546SelangorLelaki (WN)46Hospital SerdangObesiti
1547SelangorLelaki (WN)62Hospital KajangPenyakit kencing manis
1548SelangorPerempuan (WN)86Hospital SelayangPenyakit darah tinggi dan jantung
1549Negeri SembilanLelaki (WN)61Hospital Tuanku Jaafar, SerembanPenyakit darah tinggi
1550SarawakPerempuan (WN)57Hospital SibuPenyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, strok, dan Follicular Adenoma
1551JohorPerempuan (BWN)49Hospital Sultanah Aminah, Johor BahruPenyakit darah tinggi

*WN merujuk kepada warganegara dan BWN merujuk kepada bukan warganegara

LAMPIRAN 4

Perincian sembilan (9) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  • KLUSTER LORONG GALING

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kuantan di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-408655) dilaporkan positif COVID-19 pada 30 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks yang terletak di Lorong Galing 29, Kuantan. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 37 individu telah disaring, di mana 13 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN DAHLIA LIMA

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Melaka Tengah di Melaka. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-390165) dilaporkan positif COVID-19 pada 24 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks yang terletak di Jalan Dahlia 5, Taman Bunga Raya, Melaka Tengah. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 101 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER BUNGA RAYA

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kuala Muda dan Kulim di Kedah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-398299) dilaporkan positif COVID-19 pada 27 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Taman Bunga Raya, Sungai Petani, Kuala Muda. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 31 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER INDUSTRI MAHKOTA 2

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Langat di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 2 Mei 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah tapak binaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Mahkota, Pekan Sungai Manggis, Kuala Langat. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 1,350 individu telah disaring, di mana 121 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN JATI INDUSTRI

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-402884) dilaporkan positif COVID-19 pada 29 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Jati, Taman Perindustrian Tiram Utama, Ulu Tiram, Johor Bahru. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 140 individu telah disaring, di mana 26 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER TOK HAS

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Besut dan Setiu di Terengganu. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-401570) dilaporkan positif COVID-19 pada 28 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah restoran yang terletak di Kampung Tok Has, Jerteh, Besut. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 128 individu telah disaring, di mana 29 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN BANDAR

Kluster pendidikan ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-391252) dilaporkan positif COVID-19 pada 25 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan kakitangan dan pelajar-pelajar sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Bandar, Pasir Gudang, Johor Bahru. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 197 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. 

  • KLUSTER INDERA MAHKOTA DUA

Kluster institusi pendidikan KPM ini melibatkan daerah Kuantan di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-395683) dilaporkan positif COVID-19 pada 26 April 2021 hasil saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan kakitangan dan pelajar-pelajar sebuah sekolah yang terletak di Lorong Indera Mahkota 2, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 562 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN MERU UTAMA

Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Kinta, Batang Padang, Kuala Kangsar, serta Larut, Matang, dan Selama di Perak. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 25 April 2021 hasil saringan bersasar tahanan-tahanan sebelum masuk ke sebuah pusat tahanan yang terletak di Jalan Meru Utama 2, Jelapang, Ipoh. Sehingga 3 Mei 2021, sejumlah 75 individu telah disaring, di mana 40 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.