SITUASI TERKINI RABIES DI SARAWAK
24 MEI 2021
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan satu (1) kematian kes rabies manusia di Sarawak, yang disahkan positif pada 5 Mei 2021. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.
Kes ini merupakan seorang perempuan warganegara berumur 45 tahun yang tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus, Selangau, Sarawak. Beliau mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan anjing tersebut yang sedang berlawan dengan anjing lain pada 9 Mac 2021. Kes telah mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama. Rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan temujanji susulan telah diberikan. Malangnya kes telah tercicir daripada rawatan susulan. Setelah berjaya dikesan, kes telah diberi suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April 2021.
Namun begitu, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei 2021 lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan. Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei 2021. Dalam pada itu keadaan pesakit semakin merosot dan kes telah meninggal dunia pada 6 Mei 2021 jam 7:13 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.
Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di Sarawak untuk tahun 2021 sebagai tiga (3) kes. Manakala, sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 34 dengan 32 kematian. Terdapat dua (2) kes kanak-kanak yang masih hidup dengan komplikasi neurologi yang teruk.
Apabila jangkitan virus rabies yang berlaku di luka gigitan haiwan tidak diambil tindakan rawatan segera, ia akan menyebabkan kematian sekiranya jangkitan telah sampai ke otak. Justeru, KKM ingin menasihati orang awam khususnya di SARAWAK agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan virus rabies; iaitu:
- sekiranya digigit atau dicakar atau terkena air liur haiwan, luka mesti dicuci menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit;
- segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat;
- pastikan vaksin anti-rabies LENGKAP diterima mengikut temujanji yang diberikan oleh pengamal perubatan, walaupun ketika dilaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 ini; dan
- tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar.
Bagi orang awam khususnya di Sarawak yang mempunyai haiwan peliharaan, dinasihatkan agar mengikuti langkah-langkah berikut:
- sentiasa mengekalkan tahap kebersihan (hygiene) diri yang optima seperti amalan cuci tangan menggunakan air mengalir dan sabun selepas mengendalikan haiwan peliharaan;
- pastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti-rabies setiap tahun agar dilindungi dari jangkitan virus rabies;
- tidak melepaskan haiwan peliharaan bebas berkeliaran untuk mengelakkan risiko dijangkiti rabies oleh anjing liar atau kucing liar atau haiwan mamalia liar lain;
- sekiranya haiwan peliharaan berubah tingkahlaku termasuk menjadi agresif atau muram, jangan cuba menangkap atau menyentuh atau membunuh haiwan tersebut;
- laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhampiran untuk tindakan lanjut haiwan tersebut;
- kemungkinan anjing liar dijangkiti virus rabies amat tinggi di kawasan wabak rabies. Justeru, laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
- kawalan populasi haiwan peliharaan amat digalakkan dan dapatkan nasihat daripada doktor veterinar Kerajaan atau swasta berhampiran untuk nasihat lanjut.
Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berusaha dan memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dalam kalangan penduduk dilaksanakan; seperti rawatan kes, pemberian vaksin anti-rabies dan immunoglobulin kepada individu yang disyaki dijangkiti virus rabies berdasarkan penilaian risiko serta komunikasi risiko.
Namun begitu, KERJASAMA rakyat Sarawak dimohon agar mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dan Pihak Berkuasa bagi memastikan wabak rabies di Sarawak ini dapat DIBASMIKAN.
“SUNTIKAN VAKSIN PADA ANJING AKAN MENGELAKKAN MANUSIA DIJANGKITI RABIES”
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
24 Mei 2021
Categories: Communicable disease, Press
You must be logged in to post a comment.