Press

Kenyataan Akhbar KPK 4 Jun 2021 – Keputusan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kali Ke-358 Berkenaan Pendaftaran Bersyarat Vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-358 telah bersidang pada hari ini, 4 Jun 2021.

Mesyuarat telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana kepada produk vaksin COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co., Ltd, Thailand. Pengilang kedua ini merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini. Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Netherlands pada 2 Mac 2021, yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah.

Sebagai makluman, Kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX. Malaysia telah mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada bulan April 2021. Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.

KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat  ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif.

Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.  Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

4 Jun 2021

Categories: Press