Press

Kenyataan Akhbar KPK 5 Jun 2021 – Produk Tradisional PS 21 Capsule Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional berikut yang telah dikesan mengandungi racun berjadual, simvastatin.

Pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-358 berikutan pengesanan racun berjadual simvastatin di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Simvastatin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.

Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Maklumat status pendaftaran bagi sesuatu produk boleh dibuat dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/ atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 Jun 2021

Categories: Press