Press

Kenyataan Akhbar Presiden MPM 24 Jun 2021 – Kenyataan Berhubung Status Pengiktirafan Universiti di Mesir

KENYATAAN AKHBAR

MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

KENYATAAN BERHUBUNG STATUS PENGIKTIRAFAN UNIVERSITI DI MESIR

Majlis Perubatan Malaysia (MPM) telah menerima pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian daripada enam (6) tahun kepada lima (5) tahun pengajian bagi kesemua tujuh (7) buah universiti negara Mesir yang telah diiktiraf oleh MPM, seperti yang tersenarai di dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012). Beberapa siri perbincangan telah diadakan oleh MPM bersama pelbagai pihak termasuk pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir.

Susulan daripada itu, mesyuarat MPM ke-407 bertarikh 22 Jun 2021 telah menetapkan bahawa bagi warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran perubatan ke universiti-universiti Mesir ini wajib memenuhi syarat kelayakan minima kemasukan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia iaitu sekurang-kurangnya lepasan matrikulasi/ asasi/ pra-universiti atau STPM/ A-Level atau lain-lain peperiksaan yang setara dengannya.

Mesyuarat juga bersetuju sekiranya syarat kemasukan minima ini tidak dipenuhi, bakal graduan daripada universiti tersebut mungkin berhadapan dengan masalah untuk berdaftar bersama MPM. MPM juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti-universiti tersebut dari senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara ini berlanjutan.

Sehubungan dengan itu, MPM meminta kerjasama dari semua pihak terutamanya badan-badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan untuk memastikan syarat ini dipatuhi supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan bagi pelajar untuk berdaftar dengan MPM selepas tamat pengajian.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PRESIDEN MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

24 Jun 2021

Categories: Press

Tagged as: