Press

Kenyataan Akhbar KPK 2 Julai 2021 - PELANCARAN VIRTUAL NATIONAL HEALTHY RESEARCH VOLUNTEER REGISTER

PELANCARAN VIRTUAL NATIONAL HEALTHY RESEARCH VOLUNTEER REGISTER

Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini melancarkan platform ‘National Healthy Research Volunteer Register’. Objektif utama platform ini diwujudkan adalah untuk memantau keselamatan sukarelawan sihat yang menyertai kajian klinikal di Malaysia. Pelancaran platform ini juga akan membantu para penyelidik dan sukarelawan dalam memastikan integriti kajian klinikal yang dijalankan tidak terjejas agar sukarelawan tidak berada di dalam beberapa kajian klinikal serentak dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Selaras dengan standard antarabangsa serta keutamaan untuk memantau keselamatan sukarelawan sihat di dalam kajian klinikal, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menggariskan keperluan untuk mewujudkan pangkalan data ini bagi sukarelawan sihat dalam kajian klinikal di Malaysia seperti yang termaktub dalam Malaysian Guideline for Phase 1 Unit Inspection and Accreditation Programme 2018.

Sebagai makluman, kajian klinikal terdiri daripada beberapa fasa iaitu fasa 1, fasa 2, fasa 3 dan fasa 4. Secara amnya, kajian klinikal dijalankan dengan penglibatan pesakit atau sukarelawan sihat. Sukarelawan sihat adalah mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang menghalang mereka daripada menyertai percubaan klinikal. Secara khususnya sukarelawan sihat terlibat dalam kajian klinikal fasa 1, kajian bioavailability dan bioequivalence, serta kajian fasa 3 seperti kajian klinikal yang sedang dijalankan berkenaan vaksin.

Bagi memastikan platform ini dapat digunakan dengan efisen, latihan telah diberikan kepada staf-staf rangkaian pusat penyelidikan klinikal di bawah kelolaan ICR, KKM dan institusi atau pusat-pusat yang mengendalikan kajian klinikal berasaskan bioavailability dan bioequivalence. KKM turut menyasarkan penglibatan secara menyeluruh daripada institusi pengajian tinggi serta sektor swasta dalam menggunakan platform ini di masa hadapan.

    TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM ABDULLAH

    KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

    02 JULAI 2021

Categories: Press