Press

Kenyataan Akhbar KPK 5 Ogos 2021 - Keputusan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kali Ke-362 Berkenaan Pendaftaran Vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-362 telah bersidang pada hari ini, 5 Ogos 2021.

Mesyuarat telah bersetuju memberikan kelulusan  pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk Spikevax 0.20 mg/ml Dispersion for Injection COVID-19 mRNA Vaccine (nucleoside modified) dari pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn. Bhd. dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol. Produk Spikevax ini juga dikenali sebagai  vaksin COVID-19  Moderna.

KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat  ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.

KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.  

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 OGOS 2021

Categories: Press