Seperti yang dilaporkan dalam Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan pada 6 Ogos 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan terdapat keseluruhan 85 kes positif COVID-19 (disahkan dengan ujian RT-PCR) yang telah dikesan berkaitan dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang telah diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 (iaitu dari kalangan individu yang hadir ke sidang dan juga kontak rapat kes positif). Ini termasuk 17 kes COVID-19 yang telah dikesan berkaitan persidangan Dewan Rakyat (terdiri daripada individu yang hadir ke sidang dan kontak rapat).
Terkini (sehingga 8 Ogos 2021 jam 6:45 petang), KKM ingin memaklumkan terdapat penambahan tiga (3) lagi kes baharu yang berkaitan dengan persidangan Dewan Rakyat tersebut. Ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat adalah 20 kes dan jumlah keseluruhan kes berkaitan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen sebagai 88 kes positif COVID-19 (disahkan dengan ujian RT-PCR). Rujuk jadual berikut untuk ringkasan status terkini.
RINGKASAN KESELURUHAN KES POSITIF COVID-19 (RT-PCR) BERKAITAN
SIDANG MESYUARAT KHAS PARLIMEN (SEHINGGA 8 OGOS 2021)
PERKARA | KES POSITIF* | KONTAK RAPAT POSITIF | JUMLAH KESELURUHAN* |
Saringan Pra Dewan Rakyat | 56 | 4 | 60 |
Semasa Dewan Rakyat Bersidang | 17 (3) | 3 | 20 (3) |
Saringan Pra Dewan Negara | 8 | – | 8 |
JUMLAH | 81 (3) | 7 | 88 (3) |
Untuk makluman, tiga (3) kes baharu tersebut telah dilaporkan pada 7 Ogos 2021 dan mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR di antara 19.15 sehingga 22.27 (bermaksud kadar kebolehjangkitan yang tinggi). Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir. Kesemua mereka mempunyai gejala ringan dan sebelum ini telah pun mendapat vaksin lengkap. Hasil siasatan mendapati mereka juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan kuarantin kendiri setelah pulang dari sidang Parlimen supaya tidak menjangkiti ahli keluarga. Siasatan untuk mengenalpasti kontak rapat semasa persidangan diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah berkenaan.
Semua individu yang hadir ke Parlimen dinasihati untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala jalani ujian saringan COVID-19 dan mendapatkan rawatan segera.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
8 Ogos 2021 @ 6:45 petang
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Press