Press

Kenyataan Akhbar Presiden MPM 9 Ogos 2021 – Mata CPD Minima Bagi Pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Tahunan Bagi Pengamal Perubatan Yang Baharu Didaftarkan Penuh

KENYATAAN AKHBAR PRESIDEN MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

MATA CPD MINIMA BAGI PEMBAHARUAN SIJIL PERAKUAN AMALAN TAHUNAN BAGI PENGAMAL PERUBATAN YANG BAHARU DIDAFTARKAN PENUH

Selaras dengan Peraturan 28(2)(b) Peraturan-Peraturan Perubatan 2017, salah satu kriteria permohonan bagi Sijil Perakuan Amalan Tahunan adalah keperluan mata pembangunan profesional berterusan (CPD) minima sebanyak 20 mata. Seperti yang sedia maklum, mata CPD perlulah dikumpul dalam tempoh kitaran tahun CPD yang telah ditetapkan iaitu bermula 1 Julai sehingga 30 Jun tahun hadapan, sebagai contoh bagi permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi tahun 2022, mata CPD perlu dikumpul dalam tempoh bermula daripada 1 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2021.

Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) kali ke-408 yang telah bersidang pada 27 Julai 2021 telah bersetuju menetapkan kosong (0) sebagai keperluan minima mata CPD bagi pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Tahunan kepada pengamal perubatan yang baharu didaftarkan penuh dengan MPM. Pengamal perubatan yang baharu didaftarkan penuh dalam konteks ini merujuk kepada Pegawai Perubatan Siswazah yang memiliki Sijil Pendaftaran Sementara dengan MPM dan telah menamatkan latihan siswazah sahaja. Pemberian kosong (0) mata CPD minima ini akan diberikan bagi dua (2) tahun pertama permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan mereka setelah didaftarkan penuh.

Keputusan ini dibuat memandangkan pengumpulan mata CPD adalah bukan suatu perkara yang diwajibkan dalam tempoh latihan siswazah. Majlis juga prihatin dengan rintihan golongan pengamal ini di mana mereka belum terdedah dengan kriteria bagi permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan setelah didaftarkan penuh dan juga tempoh kitaran mata CPD. Terdapat juga di antara mereka yang telah didaftarkan penuh setelah tamat tempoh kitaran tahun CPD dan tidak dapat memenuhi kriteria tersebut.

Namun dengan keputusan ini, pengamal perubatan yang baharu didaftarkan penuh ini diseru agar sentiasa memastikan penjagaan pesakit berada di tahap yang terbaik dengan menghadiri aktiviti CPD berterusan bagi memastikan pengetahuan, kemahiran dan etika profesional sentiasa berada di tahap yang tertinggi.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PRESIDEN MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

9 OGOS 2021

Categories: Press

Tagged as: