TEMA: “Let’s TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina”
Creating Hope Through Action
Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum bahawa bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab ke-4 kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun, dengan purata 1 kejadian bunuh diri setiap 40 saat. Pada tahun 2019, satu (1) dalam 100 kematian (1.3%) adalah disebabkan bunuh diri. Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan bahawa seramai 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.
Tambahan lagi, situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat Malaysia tidak terkecuali. Faktor-faktor sosial yang menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan. Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.
Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dankematian akibat tindakan bunuh diri. Sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, terdapat peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019. Sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143% atau 1.4 kali lebih banyak.
Tema pada tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri. Selaras dengan ‘Konsep Keluarga Malaysia’, peranan masyarakat secara bersama bagi mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang-orang yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.
Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa, beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri telah dilaksanakan. Di antaranya ialah;
- Pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi:
- Pengukuhan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan oleh KKM dengan kerjasama NGO bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan semasa pandemik COVID-19; dan
- Pertambahan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan, serta penyalahgunaan substans.
- Sokongan terhadap usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri di mana usaha bagi pindaan/pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah. Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia. Ini akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin;
- Advokasi Kempen Let’s TALK Minda Sihat kepada kumpulan sasar menerusi dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu termasuk melibatkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan;
- Latihan secara berterusan kepada ‘first-line responders’ seperti anggota kesihatan, anggota polis, dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri; dan
- Mempergiatkan sesi libat urus (engagement) dengan pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha whole-of-government dan whole-of-society untuk menangani isu tingkah laku bunuh diri
Seluruh masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dengan cara-cara berikut:
- Mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling terutamanya yang terkesan akibat situasi pandemik COVID -19;
- Berikan sokongan dan dorongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dan rawatan;
- Elakkan penularan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri ke media sosial;
- Buang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku; dan
- Kekalkan hubungan dan berikan sokongan sosial terutama selepas sesuatu krisis berlaku.
KKM akan terus komited dalam menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk bersama mengambil bahagian dalam pelaksanaan pencegahan tingkah laku bunuh diri. Usaha-usaha ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri, menghapuskan stigma terhadap tingkah laku bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.
Let’s TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 September 2021
Categories: Non-communicable disease, Press
You must be logged in to post a comment.