Pemantauan dan Saringan Pengesanan COVID-19
Sebelum Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14
Seperti makluman umum, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas akan diadakan bermula 13 September hingga 26 Oktober 2021 bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur. Pihak Parlimen bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membangunkan beberapa Prosedur Amalan Standard (SOP) bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 sepanjang persidangan tersebut.
Antara SOP yang perlu dipatuhi semua individu yang akan memasuki Kompleks Parlimen Malaysia adalah:
- telah menerima vaksinasi lengkap (lebih 14 hari dari tarikh dos terakhir);
- menjalani ujian saringan COVID-19 secara Reverse TranscriptionPolymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam masa tiga (3) hari sebelum memasuki Kompleks Parlimen Malaysia (kali pertama sahaja);
- sepanjang tempoh Persidangan Parlimen berlangsung, semua hadirin yang hadir ke Kompleks Parlimen perlu menjalani ujian kendiri pengesanan jangkitan COVID-19 seperti yang ditetapkan oleh pihak Parlimen. Ujian kendiri ini akan dijalankan di Dewan Serbaguna, Parlimen Malaysia dengan menggunakan kit ujian RTK Ag Saliva;
- mengimbas Kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum menggunakan ruang / bilik / tandas;
- memeriksa suhu badan di pintu masuk Parlimen;
- mengamalkan pemakaian pelitup muka [digalakkan untuk memakai pelitup muka berganda (double face mask) dan pelindung muka (face shield)];
- mencuci tangan pada setiap masa;
- mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter;
- mengelakkan 3S (Sesak, Sempit dan Sembang dengan jarak dekat); dan
- mengamalkan 3W (Wash, Warn and Wear).
Keputusan Ujian Saringan di Kompleks Parlimen:
Pada 10 September hingga 11 September 2021, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah menjalankan pengujian saringan RT PCR kepada semua yang hadir di Kompleks Parlimen. Seramai 1,801 individu telah disaring di mana 26 individu didapati positif COVID-19 yang melibatkan satu (1) Senator dan 25 kakitangan Parlimen. Selain daripada itu, terdapat juga dua (2) Ahli Parlimen dikesan positif hasil saringan di luar kompleks.
Hasil siasatan awal mendapati:
- kesemua individu positif telah lengkap vaksinasi;
- 15 daripada mereka adalah kes disahkan COVID-19 sebelum ini iaitu di antara 27 Mei 2021 hingga 1 September 2021, manakala 13 individu pula baharu sahaja dikesan positif buat pertama kali semasa saringan 10 sehingga 11 September 2021;
- dua (2) kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi dengan nilai CT value atau nilai kitaran ambang RT PCR di antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan nilai CT value di antara 21.95 sehingga 38.23;
- Ujian PCR genotyping assay yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah Varian Delta dan satu (1) berkemungkinan besar adalah Varian Beta. Bagi mengesahkan jenis varian ini, MKAK telah mula menjalankan penjujukan genom COVID-19 (Whole Genome Sequencing).
Langkah yang diambil bagi kes yang dikesan positif:
- Individu yang kali pertama disahkan positif ini (13 kes) tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen. Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO). Siasatan dan penilaian risiko masih dijalankan untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara satu sama lain serta mengenalpasti kontak rapat.
- Individu yang pernah disahkan COVID-19 sebelum ini (15 kes), akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil. Tindakan ini penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat di kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan. Buat masa ini, mereka juga tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM. Keputusan siasatan ini akan dimaklumkan segera setelah dimuktamadkan.
Mengambilkira situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan keputusan saringan yang dijalankan sebelum Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas diadakan, KKM menasihatkan agar semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada. Ini bertujuan untuk memastikan mesyuarat dapat berjalan lancar, selamat serta penularan COVID-19 dapat dicegah semasa mesyuarat ini berlangsung. KKM akan memaklumkan situasi terkini saringan ini dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
12 September 2021 @ 9:00 malam
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Press