Press

Kenyataan Akhbar KPK 8 Oktober 2021 - Keputusan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kali ke-365 Berkenaan Pendaftaran Vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-365 telah bersidang pada hari ini, 8 Oktober 2021.

Mesyuarat telah memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin COVID-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany, sekurang-kurangnya selepas 6 bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas. Vaksin Comirnaty sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021. Ini merupakan vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini.

KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat  ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.  

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 OKTOBER 2021

Categories: Press