MAKLUMAT TERKINI ISU PENCEMARAN ACRYLAMIDE DAN GLICIDOL DI DALAM PRODUK KONFEKSI TERMASUK BISKUT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini isu pencemaran acrylamide dan glycidol susulan laporan oleh CHOICE Magazine di dalam laman web Majlis Pengguna Hong Kong (The Hong Kong Consumer Coucil) berkaitan 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut, yang dijual di pasaran Hong Kong mengandungi acrylamide dan glicydol. Antara jenama yang disenaraikan termasuk jenama biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia.
Menurut International Agency for Research on Cancer (IARC), acrylamide dan glicidol merupakan bahan karsinogen dan boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia. Acrylamide adalah bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan atau penyediaan makanan. Namun bahan pencemaran tersebut boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses yang bersesuaian.
Pemantauan yang dijalankan oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2015 bagi produk biskut di pasaran tempatan termasuk jenama terlibat, mendapati tahap purata acrylamide adalah 246 µg/kg (mikrogram per kilogram) iaitu di bawah paras (benchmark level) yang ditetapkan oleh European Union (EU) Commission Regulation iaitu350 µg/kg.
BKKM turut menjalankan penilaian risiko ke atas acrylamide dan glycidol dalam makanan dan ia menunjukkan risiko kesihatan terhadap acrylamide dan glycidol melalui pengambilan biskut adalah rendah.
Pengguna boleh mendapatkan panduan pencemaran acrylamide di dalam makanandari Facebook rasmi BKKM. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat isu-isu berkaitan keselamatan makanan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
27 Oktober 2021
Categories: Food Safety, Press