Press

Kenyataan Akhbar KPK 29 Oktober 2021 –  Sempena Hari Strok Sedunia 2021

Penyakit strok merupakan penyumbang kematian kedua terbesar dan penyumbang kematian dan ketidakupayaan ketiga terbesar di serata dunia. Data dari Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide (2016) melaporkan sebanyak 80 juta orang hidup dengan penyakit strok, dengan hampir 13.7 juta kes baru dan 5.5 juta kematian dicatatkan.

Di Malaysia, kajian Monitoring Stroke Burden in Malaysia (2017) menganggarkan sebanyak 150 dalam 100,000 penduduk Malaysia mengalami penyakit strok dengan purata kemasukan harian ke hospital sebanyak 92 kes. Kajian ini juga melaporkan sebanyak 40 peratus daripada pesakit strok ini di bawah umur 60 tahun.

Malaysia juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok dan pesakit strok dibebani dengan pelbagai morbiditi di mana tujuh (7) daripada 10 pesakit strok bergantung kepada orang lain bagi menjalani hidup mereka. Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide (2016) mengunjurkan satu daripada empat penduduk Malaysia akan mengalami strok pada tahun 2040 sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil.

Sungguhpun peningkatan di dalam kualiti perkhidmatan strok akut di Malaysia amat memberangsangkan, masih terdapat ramai individu yang mengalami ketidakupayaan selepas penyakit strok. Ketidakupayaan akibat penyakit strok adalah kompleks dan melibatkan pelbagai aspek termasuk fizikal, kognitif, sosial dan aspek emosi. Ini meningkatkan beban penyakit dan mewujudkan keperluan yang tinggi untuk perkhidmatan rehabilitasi strok yang efektif bagi mengurangkan komplikasi awal dan meningkatkan tahap kefungsian seseorang individu yang mengalami strok.

Oleh yang demikian, bagi memastikan komitmen negara tercapai dan seterusnya merealisasikan Agenda Pasca 2015 SDG, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan satu Kerangka Strategik Program Perubatan, 2021-2025 pada Mei 2020 yang lalu. Ia menggariskan tujuh (7) strategi utama terutamanya dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital.

Inisiatif ini akan dilaksanakan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah dikenal pasti. Fokus utama dalah untuk meningkatkan akses dan memastikan individu yang mengalami strok menerima rawatan khusus dan intervensi rehabilitasi yang bermutu tinggi, menyeluruh serta bersepadu di semua peringkat perawatan.

Usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan ini akan memacu perkhidmatan strok di Malaysia ke arah tahap perkhidmatan yang tinggi dan efisien dan menepati objektif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Strok Sedunia (WSO).  Manfaat usaha ini akan menjurus kepada penurunan kadar mortaliti dan mobiditi yang berkaitan dengan komplikasi strok dan meningkatkan tahap kefungsian dan kualiti hidup bagi individu yang mengalami strok.

Terdapat empat faktor risiko tingkah laku atau gaya hidup boleh diubah yang boleh membawa kepada penyakit strok seperti merokok atau pengambilan tembakau dalam apa juga cara, mengamalkan pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan alkohol. Oleh itu, semua rakyat Malaysia adalah diseru untuk mengekalkan gaya hidup sihat untuk mencegah penyakit strok.

KKM menyeru kepada semua pihak terutamanya petugas-petugas kesihatan agar bersama-sama menggembleng tenaga  untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpaksikan pesakit (patient centered care) agar pesakit dan penjaga dalam menangani isu berkait penyakit strok seterusnya mengurangkan prevalen dan komplikasinya akan tercapai.

Usaha untuk menghindari penyakit strok ini adalah tanggungjawab kita bersama. Oleh itu semua agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan, masyarakat dan individu hendaklah memainkan peranan dalam membantu pesakit dan penjaga pesakit melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi memastikan prevalen dan komplikasi penyakit strok di negara ini dapat diturunkan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

29 Oktober 2021

Categories: Press