Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 8 November 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

8 NOVEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 8 November 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 7,348 kes (2,419,743 kes kumulatif, 96.37%);
  • Kes baharu :  4,543 kes (2,510,852 kes kumulatif);
  • Kes import : 15 kes (13 warganegara; 2 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 4,528 kes [4,339 warganegara (95.8%);  189 bukan warganegara (4.2%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 534 kes (529 kes disahkan COVID-19 ;  5  kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan) ;
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 263 kes (205 kes disahkan COVID-19 ; 58 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan)
  • Jumlah kluster : 5,812 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 6 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,498 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 314 kluster.

Daripada 4,543 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 112 kes (2.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 4,431 kes (97.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian kluster-kluster baharu dan nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA (MINGGU EPIDEMIOLOGI KE-44)

Sehingga 6 November 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-44], sebanyak 2,501,966 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 65,505 kes aktif dan 29,256 kes kumulatif kematian. Kebanyakan indikator utama menunjukkan tren penurunan. Walau bagaimanapun, kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan sebanyak 2 peratus berbanding minggu epidemiologi sebelumnya (ME ke-43).

1. Indikator-indikator Jangkitan COVID-19

Pada ME ke-44 iaitu daripada 31 Oktober 2021 sehingga 6 November 2021;

  • Kes baharu COVID-19 menunjukkan penurunan sebanyak 13.1 peratus iaitu daripada 40,613 kes (ME ke-43) kepada 35,303 kes (ME ke-44);
  • Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 7.0 peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sembilan (9) minggu lepas;
  • Kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 27.2 peratus iaitu daripada 522 kes (ME ke-43) kepada 380 kes (ME ke-44);
  • Kes yang  memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan kenaikan 2.0 peratus iaitu 505 kes (ME ke-43) kepada 516 kes (ME ke-44);
  • Kes yang memerlukan bantuan pernafasan tidak menunjukkan perubahan ketara dan kekal sebanyak 214 kes (ME ke-44); 
  • Pada 6 November 2021, nilai Rt Malaysia telah menunjukkan penurunan harian dari 0.96 (95% CI 0.95 – 0.97) ke 0.91 (95% CI 0.90 – 0.92) sejak 1 November 2021. Untuk makluman, nilai Rt melebihi 1 menunjukkan potensi berlakunya rantaian penularan jangkitan COVID-19 seperti yang dilihat pada permulaan gelombang ketiga.

2. Kluster

Sehingga 6 November 2021, terdapat kumulatif 5,719 kluster telah dilaporkan dan hanya 335 kluster masih lagi aktif (penurunan sebanyak 23.5 peratus berbanding ME ke43). Sebanyak 137 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-44, lalu menjadikan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding ME ke-43. Sebanyak 34 kluster telah dilaporkan pada ME ke-44 yang terdiri daripada (Jadual 2);

  • Lapan belas (18) (52.9 peratus) kluster tempat kerja;
  • Tujuh (7) (20.5 peratus) kluster pusat pendidikan;
  • Enam (6) (17.6 peratus) kluster komuniti;
  • Satu (1)(3.0 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi;
  • Satu (1)(3.0 peratus) kluster aktiviti keagamaan; dan
  • Satu (1) (3.0 peratus) kluster pusat tahanan.

3. Vaksinasi

KKM juga ingin memaklumkan bahawa sehingga 7 November 2021, sejumlah 25,525,035 individu telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19. Setakat 7 November 2021 pukul 11.59 malam,  75.2 peratus daripada keseluruhan penduduk telah menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap [94.8 peratus daripada populasi dewasa dan 74.9 peratus daripada populasi remaja]. Selain itu, pemberian dos penggalak juga giat dijalankan dengan kumulatif 506,236 dos setakat 7 Novmber 2021 di 672 pusat pemberian vaksin yang masih beroperasi.

4. Kapasiti Hospital

Secara amnya, kadar pengunaan fasiliti kesihatan [katil wad biasa, Katil Unit Rawatan Rapi (ICU), dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC)] didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin. Sehubungan itu, bilangan katil yang diperuntukkan untuk merawat kes-kes COVID telah mula diturunkan secara berfasa di kebanyakan negeri bagi memberi perhatian kepada rawatan kes-kes selain COVID-19. Perincian tren penggunaan fasiliti kesihatan adalah seperti yang digambarkan pada Jadual 3.

Di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit COVID-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian menurun dari minggu ke minggu di mana kedua-dua kategori pesakit iaitu kategori pesakit 1 dan 2 serta 3, 4 dan 5 didapati semakin menurun.

Walau bagaimanapun, mulai ME ke-42 hingga ME ke-44, terdapat empat (4) negeri yang menunjukkan peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori 3 hingga kategori 5 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perlis, Terengganu, dan Selangor dengan peningkatan sekitar 3 peratus hingga 17 peratus. KKM akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi sebarang kebarangkalian peningkatan kes COVID-19 di masa hadapan.

Rakyat dinasihatkan untuk terus mengamalkan kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan walaupun telah menerima suntikan vaksin lengkap. Amalkan tindakan kesihatan awam kendiri walau di mana sahaja kita berada. Seperti yang kerap disebutkan oleh YB Menteri Kesihatan, “kita tidak selamat sehingga semua selamat.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Memandangkan sesi persekolahan sudah dibuka semula, keselamatan dan kesihatan warga sekolah serta persekitaran sekolah yang selamat perlu diberi perhatian yang lebih dalam mencegah penularan wabak COVID-19 di sekolah. Ini kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih meluas di kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian dan juga kepada keluarga mereka, seterusnya merebak pula ke komuniti.

Semua pihak yang terlibat seperti pihak sekolah, ibu bapa, pemandu bas sekolah, murid sekalian, dan juga semua yang terlibat dengan aktiviti pembukaan semula persekolahan diminta agar sentiasa patuh pada S.O.P sepanjang sesi persekolahan berlangsung agar kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah dan dielakkan. Jadikanlah tempat pengajian bagi anak-anak kita selamat agar mereka kekal terhindar dari bahaya COVID-19. Pastikan mereka yang berkelayakan untuk menerima vaksin COVID-19 segera divaksin lengkap.

KKM juga ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Patuhlah kepada Prosedur Operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok. Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 November 2021 @ 6:30 petang.

LAMPIRAN 1

KLUSTER-KLUSTER BAHARU YANG DILAPORKAN DI MALAYSIA PADA 8 NOVEMBER 2021

NONAMA KLUSTERKATEGORI KLUSTERNEGERIDAERAHJUMLAH KESJUMLAH DISARING
1Dah Batu EnamTempat KerjaKedahKulim3781
2Industri Batu JongTempat KerjaKelantanKuala Krai dan Machang2323
3Persiaran Utama KulaiTempat KerjaJohorKulai516
4Lingkaran BudiPendidikan TinggiWP Kuala LumpurLembah Pantai1122
5Putra SebelasPendidikan LainWP PutrajayaPutrajaya532
6Jalan Warisan IndahPusat TahananSelangorSepang1692


LAMPIRAN 2

NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 7 NOVEMBER 2021

NEGERINILAI RT
WP PUTRAJAYA 1.03
WP KUALA LUMPUR1.00
SELANGOR0.99
NEGERI SEMBILAN0.97
SABAH0.97
PAHANG0.97
MELAKA0.96
KEDAH0.95
PERLIS0.93
KELANTAN0.92
PULAU PINANG0.90
JOHOR0.89
SARAWAK0.88
TERENGGANU0.86
PERAK0.83
WP LABUAN0
MALAYSIA0.92