Non-communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 10 November 2021 –  Sempena Hari Diabetes Sedunia 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut Hari Diabetes Sedunia Peringkat Kebangsaan pada 10 November 2021 dengan tema hari sambutan pada tahun ini adalah ‘Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?’. Tema ini selaras dengan keperluan mendesak di seluruh dunia untuk meneruskan usaha pelbagai hala untuk mempromosikan dan meningkatkan kesihatan sejagat, dan menyediakan akses kepada rawatan dan pendidikan penjagaan kesihatan terutamanya penyakit diabetes.  Tema untuk sambutan pada tahun ini juga bertepatan dengan 100 tahun penemuan insulin bagi merawat penyakit diabetes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang 463 juta orang dewasa di seluruh dunia penghidap penyakit diabetes pada tahun 2019. Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019) pada tahun yang sama di Malaysia juga mendapati satu daripada lima orang yang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes. Lebih membimbangkan lagi, hampir separuh daripada responden ini tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit diabetes. Pesakit diabetes juga berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi yang serius sekiranya dijangkiti COVID-19.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk mengambil berat tentang kesihatan masing-masing kerana kesihatan kita adalah milik dan tanggungjawab kita bersama. Kenali dan fahami faktor risiko, tanda dan gejala penyakit diabetes supaya pencegahan dan rawatan awal dapat dilakukan.

Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala terutamanya apabila umur semakin meningkat dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes. Kebiasaannya orang ramai tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit diabetes sehingga menjalani pemeriksaan kesihatan atau menunjukkan tanda-tanda awal diabetes.

Empat komponen asas penjagaan diabetes merangkumi:

  • Akses kepada rawatan ubat-ubatan dan insulin

Walaupun sudah 100 tahun penemuan insulin, masih terdapat berjuta-juta orang di seluruh dunia yang menghidap diabetes tidak mendapat bekalan insulin yang mereka perlukan. Lazimnya, pesakit diabetes memerlukan rawatan ubat-ubatan secara berterusan bagi mengawal paras gula dalam darah dan KKM komited dalam memastikan akses kepada ubat-ubatan dan insulin untuk pesakit-pesakit diabetes di Malaysia.

  • Akses kepada pemantauan kendiri

Masih ramai pesakit diabetes tidak melakukan pemantauan kendiri di rumah. Pemantauan paras gula dalam darah adalah komponen asas dalam penjagaan diabetes dan perlu diutamakan oleh pesakit-pesakit diabetes.

  • Akses kepada pendidikan dan sokongan psikososial

Pesakit diabetes memerlukan pendidikan berterusan dan sokongan psikososial yang penting bagi pengawalan penyakit mereka. KKM menyeru agar pesakit-pesakit diabetes mendapatkan khidmat nasihat Pegawai Dietetik di fasiliti-fasiliti Kerajaan bagi mengawal penyakit diabetes.

  • Akses kepada pemakanan sihat dan aktiviti fizikal

Pesakit diabetes atau orang yang berisiko menghidap diabetes memerlukan akses kepada makanan yang sihat dan seimbang serta tempat untuk melakukan aktiviti fizikal yang sesuai dan selamat. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam memastikan akses kepada pemakanan yang sihat dan tempat riadah melalui program-program seperti Agenda Nasional Malaysia Sihat dan lain-lain.

KKM menyeru agar semua anggota kesihatan, badan-badan berkanun, badan sukarelawan, universiti dan semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan risiko dan komplikasi penyakit diabetes. Semua rakyat Malaysia haruslah sentiasa beriltizam untuk terus menjaga kesihatan dan menjalani gaya hidup yang sihat bagi mencegah penyakit diabetes terutama kepada mereka yang berisiko.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

10 November 2021

Categories: Non-communicable disease, Press

Tagged as: