Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 10 November 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

10 NOVEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 10 November 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 5,068 kes (2,430,122 kes kumulatif, 96.34%);
  • Kes baharu :  6,243 kes (2,522,498 kes kumulatif);
  • Kes import : 24 kes (18 warganegara; 6 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 6,219 kes [5,881 warganegara (94.6%);  338 bukan warganegara (5.4%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 543 kes (504 kes disahkan COVID-19 ;  39  kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 279 kes (196 kes disahkan COVID-19 ; 83 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 5,824 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 7 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,524 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 300 kluster.

Daripada 6,243 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 106 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 6,137 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian kluster-kluster baharu dan nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

KOMPLIKASI JANGKITAN COVID-19: LONG COVID DAN IMPLIKASINYA

Secara umum, kebanyakan pesakit COVID-19 di Malaysia berpotensi sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu bekas pesakit COVID-19 yang terkesan dengan komplikasi dikenali sebagai Long COVID.

Long COVID merupakan keadaan di mana bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan tanda-tanda dan gejala-gejala selepas jangkitan COVID-19. Terdapat dua tempoh bagi Long COVID iaitu:

  • Ongoing Symptomatic COVID-19 iaitu tanda dan gejala  selepas jangkitan COVID-19 dalam tempoh 4 minggu sehingga 12 minggu;dan
  • Post COVID-19 Syndrome iaitu tanda dan gejala wujud pada ketika atau selepas jangkitan COVID-19 yang berterusan melepasi 12 minggu di mana ianya tidak dapat dijelaskan oleh sebarang diagnosis lain.

Daripada  November 2020 sehingga September 2021, sejumlah 2,712 pesakit Long COVID dirujuk dalam tempoh 4 hingga 12 minggu selepas jangkitan COVID-19 ke COVID-19 Rehabilitation Outpatient Specialized Services (CROSS) Hospital Sungai Buloh. Daripada 2,712 pesakit Long COVID tersebut (Rajah 1):

  • Sebanyak 984 (36.3%) kes pulih sepenuhnya daripada gejala-gejala yang dialami;
  • Sebanyak 1,715 (63.2%) kes masih mengalami gejala-gejala berterusan;
  • Sebanyak 13 kes (0.05%) kes berakhir dengan kematian, namun semakan rekod perubatan mendapati terdapat faktor komorbid lain yang menyumbang kepada kes-kes kematian ini, iaitu melibatkan penyakit kanser yang telah merebak, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, jangkitan kuman dalam darah serta jangkitan paru-paru.

Selain itu, analisa ke atas pengkalan data yang sama mendapati bahawa terdapat seramai 2,324 pesakit telah menjalani penilaian melepasi 12 minggu selepas jangkitan COVID-19. Didapati 97.5 peratus daripada mereka merupakan pesakit yang pernah mengalami jangkitan serius COVID-19 iaitu kategori 4 dan 5.

Penilaian selepas 12 minggu ke atas 2,324 kes ini mendapati:

  • Sebanyak 914 (39.4%) kes pulih sepenuhnya daripada gejala-gejala yang dialami;
  • Sebanyak 1,410 (60.6%) kes masih mengalami gejala-gejala berterusan di mana kebanyakan mereka melaporkan lebih dari satu (1) gejala.

Lima (5) gejala paling kerap dilaporkan adalah kelesuan (71.8%), kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti (61.9%), batuk (13.6%), kesakitan (13.2%), dan kesukaran tidur nyenyak (11%) (Rajah 2).

Analisa terhadap fungsi yang dialami oleh pesakit long COVID (Rajah 3) selepas 12 minggu jangkitan mendapati:

  • 61.1% tidak mengalami kehilangan fungsi (bar 1);
  • 25.6% mengalami kesukaran fungsi yang boleh diabaikan (bar 2);
  • 8.9% mengalami kesukaran fungsi yang ringan (bar 3);
  • 3.7% mengalami kesukaran fungsi yang ketara tetapi tidak memerlukan bantuan individu lain (bar 4); dan
  • 0.7% mengalami kesukaran fungsi yang sangat ketara sehingga memerlukan bantuan individu lain (bar 5).

Tanpa rawatan yang khusus, keadaan ini akan berterusan dan tempoh masa yang lama diperlukan bagi kembali ke tahap fungsi sepenuhnya. Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan COVID-19. Selain itu, Long COVID juga boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, dan hilang sumber pendapatan. Bebanan sosio-ekonomi bukan sahaja memberi impak kepada pesakit Long COVID, malah turut dirasai oleh ahli keluarga, masyarakat serta Negara.

Seiring dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menangani Long COVID, KKM telah melaksanakan inisiatif berikut iaitu:

  • Recognition Long COVID dikenalpasti sebagai suatu entiti klinikal yang memerlukan perawatan khusus. Justeru garis panduan serta protokol kebangsaan yang melibatkan pelbagai perkhidmatan kepakaran perubatan termasuk Perawatan Umum, Perawatan Utama, Respiratori, Organizing Pneumonia, Immunocompromised, Nefrologi, Obstetrik, Pediatrik, Rehabilitasi serta Psikiatri telah diwujudkan bermula Julai 2021;
  • Rehabilitation – Perkhidmatan rehabilitasi bagi menangani kesan jangka sederhana serta jangka panjang gejala Long COVID disediakan di fasiliti kesihatan tertentu untuk merawat individu yang terkesan. Justeru mereka yang mengalami gejala Long COVID disarankan agar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan bagi penilaian serta preskripsi program rehabilitasi awal oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi dan Jurupulih Perubatan Carakerja yang akan dipantau oleh Pakar Perubatan Keluarga. Bagi individu yang terkesan dengan gejala Long COVID yang lebih serius serta memerlukan program rehabilitasi khusus, mereka akan dirujuk ke hospital berpakar dengan perkhidmatan kepakaran perubatan rehabilitasi yang menyediakan program khusus melalui pendekatan pelbagai kepakaran secara interdisiplinari;
  • Research – Pelbagai kajian klinikal melibatkan pelbagai kepakaran perubatan termasuk rehabilitasi kini sedang dijalankan bagi memahami dengan lebih terperinci gejala-gejala, faktor risiko, impak serta outcome gejala Long COVID.

Program Rehabilitasi Khusus yang diketuai oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi, boleh didapati di hospital berpakar melibatkan pengendalian secara bersama oleh pasukan teras iaitu Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, Jurupulih Perubatan Fisioterapi, Jurupulih Perubatan Carakerja, dan jururawat. Matlamat utama program rehabilitasi dijalankan adalah untuk menangani gejala, meminimakan impak ke atas aktiviti dan fungsi harian serta mempercepatkan proses penyembuhan sepenuhnya. Sekiranya kehilangan fungsi berlaku dalam tempoh masa yang lama, teknik mengadaptasi dan penggunaan preskripsi peralatan yang sesuai akan dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup individu tersebut. 

Sehingga 30 Oktober 2021, sejumlah 5,193 pesakit menjalani perawatan serta pemantauan program rehabilitasi menangani gejala Long COVID di seluruh negara melibatkan 31 buah hospital awam, 4 buah hospital universiti, dan 6 buah fasiliti kesihatan swasta.

Menyedari kesan pandemik COVID-19 ke atas individu yang terjejas ini, Perkhidmatan Perubatan Rehabilitasi KKM juga telah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak Melaka dan cawangan satelit di Hospital Ara Damansara untuk memperkasakan pesakit Long COVID sempena program Return to Work dengan memberikan rawatan rehabilitasi yang komprehesif dan menyeluruh. Selain itu, pembekalan peralatan rehabilitasi yang bersesuaian dan pembayaran faedah PERKESO bagi pencarum yang layak juga akan dijalankan. Kolaborasi bersama badan-badan bukan kerajaan seperti Mercy Malaysia dan Care, Share and Circle juga sedang dilakukan bagi mendapatkan sokongan professional untuk penyediaan bahan pendidikan pesakit meliputi bahasa utama di Malaysia secara bercetak serta elektronik.

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang mendalam di setiap peringkat. Justeru, KKM ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menghadapi ujian ini. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bersama-sama kita boleh mengharungi ujian ini”.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM juga ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Patuhlah kepada Prosedur Operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok. Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

10 November 2021 @ 6:30 petang.

LAMPIRAN 1

KLUSTER-KLUSTER BAHARU YANG DILAPORKAN DI MALAYSIA PADA 10 NOVEMBER 2021

NONAMA KLUSTERKATEGORI KLUSTERNEGERIDAERAHJUMLAH KESJUMLAH DISARING
1Industri Batu 4 Jalan KebunTempat KerjaSelangorKlang dan Kuala Langat70927
2Jalan Gajah Mati Machang BubokKumpulan Berisiko TinggiPulau PinangSeberang Perai Tengah1920
3Pulai Chondong 2Pendidikan LainKelantanMachang769
4Jalan Tanjong MasInstitusi Pendidikan KPMKelantanKota Bharu2533
5Jalan Kempas LapanInstitusi Pendidikan Swasta Yang Berdaftar Di Bawah KPMJohorKulai758
6Sawit MengkarakTempat KerjaPahangBera5171
7Kandi Sungai Besi 2Pendidikan TinggiWP Kuala LumpurCheras1830


LAMPIRAN 2

NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 9 NOVEMBER 2021

NEGERINILAI RT
WP PUTRAJAYA1.07
WP KUALA LUMPUR1.02
SELANGOR1.01
NEGERI SEMBILAN0.99
PERLIS0.99
PAHANG0.99
KEDAH0.98
KELANTAN0.98
SABAH0.97
MELAKA0.96
PULAU PINANG0.90
JOHOR0.89
TERENGGANU0.88
SARAWAK0.88
PERAK0.85
WP LABUAN0
MALAYSIA0.96