Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 12 November 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

12 NOVEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 12 November 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh :6,026 kes (2,441,485 kes kumulatif, 96.3%);
  • Kes baharu :  6,517 kes (2,535,338 kes kumulatif);
  • Kes import : 16 kes (10 warganegara; 6 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 6,501 kes [6,214 warganegara (95.6%);  287 bukan warganegara (4.4%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 544 kes (485 kes disahkan COVID-19 ;  59  kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan) ;
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 269 kes (194 kes disahkan COVID-19 ; 75 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan)
  • Jumlah kluster : 5,837 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 9 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,551 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 286 kluster.

Daripada 6,517 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 125 kes (1.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 6,392 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian seperti kluster-kluster baharu yang sebelum ini disertakan bersama kenyataan media, kini akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my . iaitu bersama dengan maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

ANALISA SITUASI TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA

Secara umumnya, situasi penularan COVID-19 di Malaysia adalah baik, namun kita kini masuk ke fasa berjaga-jaga bagi memastikan keadaan terus terkawal dan bertambah baik.

Rajah 1: Taburan Kumulatif Kes COVID-19 di Malaysia ME 53/2020 sehingga ME 45/2021 (sehingga 11 November 2021)

Jika dilihat graf di Rajah 1 kes harian COVID-19 telah mulai meningkat sejak daripada minggu epidemiologi (ME) 14/2021 iaitu pada awal bulan April 2021. Peningkatan kes secara mendadak bermula pada ME 25/2021 sehingga mencapai puncak pada ME 33/2021 berikutan penyebaran varian Delta secara meluas di Malaysia, di mana varian Delta buat pertama kalinya telah dicatatkan pada April dan bilangan kes terus mencatatkan peningkatan.

Alhamdulillah, kes harian COVID-19, kes sembuh COVID-19 dan juga kes kematian COVID-19 mulai menurun sekitar ME ke-36. Ini satu pencapaian yang baik buat negara. Penurunan kes ini adalah selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi di dalam negara di mana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah dimulakan pada bulan 24 Februari 2021. PICK bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 dan mengurangkan kes jangkitan serius COVID-19 serta kematian COVID-19. Sehingga 11 November 2021, lebih daripada 75.7 peratus (24,730,649) penduduk Malaysia telah menerima dos lengkap vaksin manakala 95.1 peratus (22,258,551 individu dewasa) telah menerima dos lengkap vaksin.

Pelancaran Vaksinasi COVID19 secara besar-besaran telah berjaya menurunkan jumlah kes, kadar kemasukkan ke hospital, ICU dan juga kadar kematian (rujuk Rajah 2). Pelaksanaan PICK adalah berlandaskan bukti dan sains serta mengikut prosedur termasuk mendapat kelulusan daripada regulatori. 

Rajah 2: Penggunaan Katil ICU, Katil Hospital dan Pusat Kuarantin & Rawatan Risiko Rendah (PKRC) Dengan Kenaikan Vaksinasi

Mutakhir ini, terdapat bukti daripada kajian Real World Data bahawa terdapat kesan pengurangan imuniti (waning immunity) terhadap SARS-CoV-2 selepas beberapa bulan lengkap vaksinasi, dan berlaku peningkatan kes jangkitan semula COVID-19 di kalangan penerima vaksin (breakthrough infection). Selain daripada itu kemunculan variant of concern (VOC) juga memberi kesan di mana ianya lebih mudah merebak dan mampu merebak di dalam komuniti dalam tempoh yang singkat. Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai R-naught (Ro/Rt) mengikut jangkaan kes harian pada 11 November 2021 untuk seluruh negara juga telah meningkat kepada 1.0, lebih kurang lima (5) minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan (rujuk Rajah 3).

Rajah 3: Pola Nilai Rt Sehingga 11 November 2021

Jika kita lihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes telah dilihat lima (5) sehingga enam (6) minggu selepas kebenaran rentas negeri diberikan pada 7 Disember 2020 dahulu (rujuk Rajah 4).

Rajah 4: Tren Jumlah Kes COVID-19 dan Kadar Insiden Bagi Setiap 100,000 Penduduk

Jika kita lihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes telah dilihat lima (5) sehingga enam (6) minggu selepas kebenaran rentas negeri diberikan pada 7 Disember 2020 dahulu (rujuk Rajah 4).

Kedua-dua faktor ini menjadi peringatan awal kepada kita semua agar tindakan secara aktif perlu diambil bagi memastikan kes COVID-19 tidak meningkat semula dengan mendadak. Antaranya dengan mempergiatkan tindakan pemberian vaksin dos penggalak (booster dose).

PELAKSANAAN VAKSIN PENGGALAK COVID-19

Melihat kepada pendekatan yang diambil negara seperti Singapura, United Kingdom serta beberapa negara lain yang lebih awal memulakan proses pemberian vaksin, mereka telah mula memberikan dos penggalak berdasarkan bukti-bukti saintifik. Pemberian dos penggalak serta dos tambahan juga adalah selari dengan saranan yang diberikan oleh Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE), WHOterutamanya kepada golongan yang mempunyai imuniti yang rendah dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas. Kumpulan barisan hadapan juga diutamakan.

Panel Pakar Perubatan KKM meneliti keberkesanan serta keselamatan dos penggalak daripada pelbagai sumber dan mendapati satu (1) dos penggalak (booster) mampu meningkatkan tahap imuniti terhadap COVID-19. Golongan yang diberikan keutamaan untuk menerima dos tambahan serta dos penggalak telah diperincikan di dalam Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 17/2021 bertarikh 17 Oktober 2021. Kini golongan tersebut sedang dalam fasa pemberian dos penggalak. Strategi KKM seterusnya adalah untuk meluaskan pemberian dos penggalak kepada golongan tersebut :

  • Individu berumur 18 tahun ke atas dengan komorbiditi
  • Individu yang berumur 40 tahun ke atas
  • Ibu mengandung
  • Petugas barisan hadapan (selain petugas kesihatan)

Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan regulatori dan kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat sama ada daripada jenis homologous atau heterologous dengan dos primer terakhir. Setakat ini hanya vaksin Comirnaty telah diberikan kelulusan sebagai dos penggalak secara homologous selepas tempoh 6 bulan menerima dos primer. Manakala vaksin-vaksin lain dalam proses semakan oleh panel pakar dan regulatori. Sehingga 11 November 2021, dianggarkan sebanyak 144.57 juta dos penggalak telah diberikan di peringkat global manakala sebanyak 825,497 dos telah diberikan di Malaysia.

Rajah 5: Situasi Semasa Vaksinasi (sehingga 11 November 2021)

KKM akan terus memantau perkembangan COVID- 19 dari semasa ke semasa dan pada masa yang sama akan meneruskan PICK dengan pemberian dos tambahan dan dos penggalak bagi memastikan Keluarga Malaysia menerima perlindungan yang optimum daripada COVID-19. Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. Nasihat KKM, segeralah mendaftar dan dapatkan vaksin COVID-19 agar anda dan keluarga dilindungi daripada virus merbahaya ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM juga ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Patuhlah kepada Prosedur Operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok. Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

12 November 2021 @ 4:00 petang.

LAMPIRAN 1

NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 11 NOVEMBER 2021

NEGERINILAI RT
WP PUTRAJAYA 1.16
WP KUALA LUMPUR1.04
SELANGOR1.03
KELANTAN1.02
NEGERI SEMBILAN1.01
PAHANG1.01
SABAH0.98
KEDAH0.98
MELAKA0.94
PERLIS0.94
JOHOR0.93
PULAU PINANG0.91
TERENGGANU0.90
PERAK0.88
SARAWAK0.87
WP LABUAN
MALAYSIA1.00