Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 16 November 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

16 NOVEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 16 November 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 6,013 kes (2,461,780 kes kumulatif, 96.3%);
  • Kes baharu :  5,413 kes (2,556,865 kes kumulatif);
  • Kes import : 17 kes (14 warganegara; 3 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 5,396 kes [5,172 warganegara (95.8%);  224 bukan warganegara (4.2%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 545 kes (458 kes disahkan COVID-19 ;  87  kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan) ;
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 264 kes (184 kes disahkan COVID-19 ; 80 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 5,850 kluster;
  • Jumlah kluster baharu :7 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,598 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 252 kluster.

Daripada 5,413 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 102 kes (1.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 5,311 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA (MINGGU EPIDEMIOLOGI KE-45)

Sehingga 13 November 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-45], sebanyak 2,541,147 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 64,047 kes aktif dan 29,631 kes kumulatif kematian. Kebanyakan indikator utama seperti purata kes aktif, kes kematian, dan kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sedangmenunjukkan tren penurunan. Walau bagaimanapun, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt telah mencatatkan peningkatan harian semenjak 6 November 2021. Kesannya, kes baharu COVID-19 juga meningkat, iaitu sebanyak 11% berbanding minggu sebelumnya.

Situasi ini kekal membimbangkan KKM kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan COVID-19 kepada masyarakat dan seterusnya risiko pendedahan yang lebih tinggi untuk dijangkiti oleh virus tersebut. Sebagai makluman, peningkatan nilai Rt berkadar terus dengan peningkatan kes baharu COVID-19 terutamanya jika langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan sepenuhnya oleh semua pihak. Oleh yang demikian, masyarakat diseru agar tidak alpa dan mengambil tindakan aktif dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan demi memastikan jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan segera di Malaysia.

1. Indikator-indikator Jangkitan COVID-19

Pada ME ke-45 iaitu daripada 7 November 2021 sehingga 13 November 2021;

  • Kes baharu COVID-19 menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus iaitu daripada 35,303 kes (ME ke-44) kepada 39,181 kes(ME ke-44);
  • Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 5.0 peratus iaitu daripada 65,573 kes (ME ke-44) kepada 62,224 kes (ME ke-45). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sepuluh (10) minggu lepas;
  • Kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus iaitu daripada 380 kes (ME ke-44) kepada 375 kes (ME ke-45);
  • Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 2.0 peratus iaitu 516 kes (ME ke-44) kepada 504 kes (ME ke-4);
  • Kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan sebanyak 13.2 peratus dari 214 kes (ME ke-44) ke 186 kes (ME ke-45).
  • Nilai Rt meningkat dari 0.96 (95% CI 0.95 – 0.97) ke 1.05 (95% CI 1.04 – 1.06) sejak 1 November 2021.

2. Kluster

Sehingga 13 November 2021, terdapat kumulatif 5,840 kluster telah dilaporkan dan hanya 278 kluster masih lagi aktif (penurunan sebanyak 17.0 peratus berbanding ME ke–44). Walau bagaimanapun, kewujudan kluster tempat kerja yang sebelum ini mencatatkan tren penurunan semenjak ME ke-37 kini mulai meningkat semula pada ME ke-45 selari dengan pergerakan rentas negeri dan pembukaan semula sektor ekonomi sepenuhnya oleh Kerajaan pada PPN Fasa 4. Dominasi kluster di tempat kerja dijangka akan terus meningkat sekiranya pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan tidak dipraktikkan oleh majikan terhadap pekerja-pekerja mereka. Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan amalan pencegahan yang digariskan dalam SOP pembukaan ekonomi diamalkan sepenuhnya dalam membanteras kewujudan  kluster baharu di tempat kerja.

Kluster pendidikan juga menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding minggu sebelumnya berikutan penambahan negeri-negeri yang telah memasuki Fasa 4 PPN yang membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan secara bersemuka di dalam kelas. Besar harapan Kerajaan terhadap warga pendidik sekalian agar dapat memainkan peranan mereka dalam membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 dengan memastikan anak-anak didikan mereka dapat mematuhi segala langkah-langkah pencegahan semasa berada di institusi pendidikan tersebut.

Sebanyak 98 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-45, lalu menjadikan penurunan sebanyak 28.5 peratus berbanding ME ke-44. Sebanyak 41 kluster telah dilaporkan pada ME ke-45 yang terdiri daripada (Jadual 2);

  • 24 (58.5 peratus) kluster tempat kerja;
  • 11 (26.8 peratus) kluster pusat pendidikan;
  • Tiga (3) (7.3 peratus) kluster komuniti;
  • Dua (2) (4.9 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi; dan
  • Satu (1) (2.5 peratus) kluster pusat tahanan.

3. Kapasiti Hospital

Secara amnya, kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil wad biasa dan katil di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin. Namun begitu, penggunaan katil ICU didapati meningkat satu (1) peratus berbanding minggu lepas. Perincian tren penggunaan fasiliti kesihatan adalah seperti yang digambarkan pada Jadual 3.

Di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit COVID-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian meningkat berbanding ME ke-44, walaupun kategori pesakit 1 dan 2 tidak menunjukkan perubahan ketara kerana bilangan pesakit kategori 3, 4 dan 5 didapati semakin meningkat.

Peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori 3 hingga kategori 5 tersebut melibatkan hampir semua negeri kecuali negeri Perlis, Perak, WP Kuala Lumpur, Melaka dan Johor. Oleh itu, KKM akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi situasi katil hospital yang kembali sesak dengan pesakit COVID-19 di masa hadapan.

4. Aktiviti Penguatkuasaan di bawah Akta 342

Menyedari situasi peningkatan kes yang sedang berlaku di Malaysia, KKM melalui Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam (BPKA) sedang giat melakukan aktiviti penguatkuasaan pematuhan SOP di seluruh negeri.

Kesalahan ini melibatkan kecuaian pematuhan SOP seperti kegagalan memakai pelitup muka, gagal mengamalkan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan/ merekod butiran diri. Kegagalan individu menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis.

Berikut merupakan aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan dalam ME ke 45 (7 November 2021 sehingga 13 November 2021);

  • 251 kompaun telah dikeluarkan terhadap individu;
  • 29 kompaun dikeluarkan kepada pertubuhan perbadanan; dan
  • 63 penutupan premis telah dilaksanakan oleh kakitangan KKM.

Jadual 4 menunjukkan jumlah tawaran kompaun bagi individu dan pertubuhan perbadanan yang telah dikeluarkan serta jumlah penutupan premis mengikut negeri dalam ME 45.

KKM mengucapkan terima kasih kepada semua petugas penguatkuasa pelbagai agensi di lapangan yang telah sama-sama melakukan penguatkuasaan dan kerjasama masyarakat dalam pematuhan SOP.

Setelah hampir 2 tahun mengharungi pandemik COVID-19, KKM percaya Keluarga Malaysia telah faham dan mahir dengan kaedah-kaedah mencegah diri serta komuniti daripada jangkitan wabak ini. Amalkanlah pembudayaan norma baharu jika kita ingin menjalani kehidupan bersama virus COVID-19 dengan selamat. Pakailah pelitup muka dengan betul pada setiap masa, elakkan daripada mengunjungi tempat yang sesak sehingga tidak boleh melakukan jarak fizikal, elakkan juga dari bersentuhan dan sentiasa gunakan hand sanitiser atau cucilah tangan dengan kerap.

Disiplin yang tinggi daripada setiap individu amatlah diperlukan bagi memastikan tiada lagi gelombang lain/ lonjakan kes/ pertambahan kes. Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang disekeliling kita daripada risiko jangkitan.

TEST (Uji) - segera lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri sekiranya mengalami gejala jangkitan seperti hidung berair, demam atau batuk.

REPORT (Lapor) - laporkan keputusan ujian pengesanan kendiri (negatif, positif, atau tidak sah) secepat mungkin di aplikasi MySejahtera.

ISOLATE (Asing) - pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya positif COVID-19, atau sekiranya dikesan sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19. Patuhi perintah HSO yang ditetapkan oleh KKM.

INFORM (Maklum) - segera maklumkan kepada kontak rapat dan ahli keluarga terdekat sekiranya positif. Maklumkan pihak berkuasa kesihatan atau CAC berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot ketika kuarantin kendiri di rumah.

SEEK (Dapatkan rawatan) - dapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya gejala bertambah teruk seperti kesukaran bernafas atau demam panas.

Strategi kerajaan dalam menghadapi ancaman COVID-19 adalah dengan pencegahan. Melalui pencegahan, penularan virus dapat dikawal dan rantaian jangkitan diputuskan. Vaksin juga adalah satu daripada langkah pencegahan utama dalam melindungi diri dan orang sekeliling daripada jangkitan COVID-19.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM juga ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Patuhlah kepada Prosedur Operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok. Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 November 2021 @ 6:30 petang.

LAMPIRAN 1

NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 15 NOVEMBER 2021

NEGERINILAI RT
WP PUTRAJAYA 1.17
NEGERI SEMBILAN1.05
WP KUALA LUMPUR1.04
SELANGOR1.04
KELANTAN1.04
PAHANG1.02
SABAH1.00
JOHOR0.99
KEDAH0.99
MELAKA0.97
PERAK0.96
PULAU PINANG0.94
TERENGGANU0.94
SARAWAK0.86
PERLIS0.00
WP LABUAN0.00
MALAYSIA1.05