Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 30 November 2021 – Makluman Awal Jangkitan Kes COVID-19 di Parlimen

MAKLUMAN AWAL JANGKITAN KES COVID-19 DI PARLIMEN

Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas Dewan Rakyat kini sedang berlangsung, bermula 25 Oktober 2021 hingga 23 Disember 2021. Pihak Parlimen bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan saringan berkala sepanjang persidangan ini bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

KKM ingin memaklumkan jangkitan kes COVID-19 yang telah dikenalpasti hasil saringan berkala yang dijalankan sepanjang persidangan Parlimen. Sehingga kini, secara keseluruhannya terdapat 84 kes positif COVID-19 (disahkan dengan ujian RT-PCR) di mana:

  • 18 kes telah dikenalpasti hasil saringan Pra-Persidangan Dewan Rakyat pada 22 Oktober – 25 Oktober 2021. Tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan. Kesemua kes telah diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes-kes tersebut tiada kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan;
  • Semasa persidangan Dewan Rakyat:
    • 41 kes dilaporkan di antara 27 Oktober sehingga 28 November 2021. Kes-kes tersebut telah diasingkan dengan segera dan tiada kluster dilaporkan.
    • 25 kes dikesan melalui saringan berkala pada 29 November 2021. Kes-kes yang dikenalpasti ini mempunyai kadar kebolehjangkitan dengan nilai CT value atau nilai ambang RT PCR antara 13.70 hingga 36.11. Setakat ini, semua sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay. Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom (genomic study) dan masih menunggu keputusan penuh.

Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenalpasti punca jangkitan. Ini bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan segera selain aktiviti disinfeksi di kawasan-kawasan sekitar Parlimen.

KKM akan memaklumkan situasi jangkitan COVID-19 di Parlimen dari semasa ke semasa. Status kesihatan semua kes positif COVID-19 dan kontak rapat serta kes baharu yang mungkin akan dilaporkan dalam tempoh inkubasi akan dipantau. Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang hadir ke Parlimen terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala, jangan hadir ke Parlimen, jalani ujian saringan COVID-19 dan segera dapatkan rawatan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 30 November 2021 @ 7:15 petang