Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 3 Disember 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

3 DISEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 3 Disember 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 5,301 kes (2,556,554 kes kumulatif, 96.5%);
  • Kes baharu :  5,551 kes (2,649,578 kes kumulatif);
  • Kes import : 23 kes (14 warganegara; 9 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 5,528 kes [5,304 warganegara (95.9%); 224 bukan warganegara (4.1%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 499 kes (362 kes disahkan COVID-19 ;  137  kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 269 kes (157 kes disahkan COVID-19 ; 112 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 5,965 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 6 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,737 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 228 kluster.

Daripada 5,551 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 78 kes (1.4 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 5,473 kes (98.6 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

KEMASUKAN PENGEMBARA KE MALAYSIA

Susulan arahan terkini YB Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semasa Sidang Media Menteri Kesihatan hari ini, pengembara dari negara selain daripada lapan (8) buah negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara adalah dibenarkan untuk menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi. Selain daripada keperluan menjalankan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RT PCR sekurang-kurangnya 72 jam sebelum bertolak ke Malaysia dan pada hari ketibaan, pengembara di Langkawi ini juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 menggunakan ujian RTKAntigen (RTK-Ag) Professional pada hari ke-3 dan hari ke-5 selepas ketibaan.

Bagi pengembara yang membuat ujian di Langkawi pada hari ketibaan di pulau itu, mereka dibenarkan tinggal di hotel sementara menunggu keputusan ujian bagi mengelakkan perhimpunan ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan akan menerima perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) secara digital dalam aplikasi MySejahtera.

Manakala pengembara dari negara selain daripada lapan (8) buah negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara adalah dibenarkan memasuki Malaysia untuk melancong ke negeri-negeri selain Langkawi dengan mematuhi keperluan-keperluan di bawah:

  • Perlu menjalani kuarantin wajib.
  • Tempoh kuarantin bergantung kepada:
    • Status vaksinasi, iaitu tujuh (7) hari untuk individu dengan vaksin lengkap dan 10 hari sekiranya tidak menerima vaksin lengkap atau tidak menerima vaksin; DAN
    • Tempat kuarantin mengikut kelulusan yang diberikan oleh Home Quarantine Application (HQA), sama ada di rumah/tempat kediaman atau stesen kuarantin. Pengembara yang tidak diluluskan untuk menjalani kuarantin di rumah/tempat kediaman perlu membuat tempahan bilik di hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin melalui MyTravelSafe di pautan https://safetravel.myeg.com.my/.
  • Mereka yang datang dari negara berisiko tinggi dan menjalani kuarantin di rumah/tempat kediaman akan dipakaikan peranti pengesan digital (digital tracker). Negara berisiko tinggi ini akan dimaklumkan oleh KKM berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa dan senarai akan diberikan kepada Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) berkaitan untuk tindakan lanjut.
  • Keperluan menjalani ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari ke-5 sekiranya kuarantin selama tujuh (7) hari atau pada hari ke-8 sekiranya kuarantin selama 10 hari.
  • Penilaian risiko akan dilakukan ke atas pengembara pada hari ke-7 atau hari ke-10 sebelum pelepasan kuarantin.

Dengan pengisytiharan ini, maka kenyataan-kenyataan yang diumumkan sebelum ini adalah terbatal.

STATUS KLUSTER COVID-19 DI SEKOLAH SERI PUTERI  

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengemaskini status kluster COVID-19 yang melibatkan warga sebuah sekolah di Cyberjaya iaitu Sekolah Seri Puteri dan dinamakan Kluster Persiaran Tasik. Kluster ini telah diumumkan pada 29 November 2021 apabila seramai lapan (8) kes disahkan postif COVID-19.

Susulan dari pengesanan kes-kes ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah melakukan saringan daripada 26 November 2021 sehingga 3 Disember 2021 ke atas 973 orang warga sekolah dan mendapati 135 kes baharu positif COVID-19. Ini menjadikan keseluruhan kes COVID-19 dalam kluster ini seramai 143 orang iaitu 114 murid, 19 guru, dan 10 kakitangan; dengan kadar serangan 14.7%.

Daripada 143 kes yang positif COVID-19, seramai 106 kes dalam kategori 1 manakala 35 kes yang lain adalah dalam kategori 2A dan dua (2) kes dalam kategori 2B (masing-masing seorang guru dan seorang murid). Kesemua kes positif ini berada dalam keadaan stabil. Kesemua murid yang positif COVID-19 dan seorang guru telah dimasukkan ke MAEPS untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

Sementara itu, seramai 700 orang kontak rapat iaitu 603 murid, 59 orang guru, dan 38 orang kakitangan telah dikenal pasti.  Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia. Manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing.

Selain dari aktiviti saringan dan pengasingan kes positif dan kontak rapat, sekolah telah diarahkan ditutup sementara di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi. Satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut telah diadakan. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM juga ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Patuhlah kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok. Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

3 Disember 2021 @ 7:00 petang.

LAMPIRAN 1

NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 2 DISEMBER 2021

NEGERINILAI RT
PERLIS1.12
WP PUTRAJAYA 1.01
SELANGOR1.01
WP KUALA LUMPUR1.00
JOHOR1.00
PULAU PINANG1.00
WP LABUAN0.98
MELAKA0.98
PAHANG0.98
KEDAH0.98
PERAK0.96
SABAH0.95
KELANTAN0.95
TERENGGANU0.93
NEGERI SEMBILAN0.92
SARAWAK0.74
MALAYSIA0.96