Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 18 Disember 2021 – Perkembangan Semasa Varian Baharu Omicron (B.1.1.529) dan Langkah-Langkah Kawalan Serta Pencegahan di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa daripada 18 kes yang disyaki berkemungkinan varian Omicron seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 16 Disember 2021, 11 kes telah disahkan varian Omicron. Kesemua 11 kes varian Omicron yang dilaporkan ini adalah kes import, di mana:

  • Tiga (3) kes dari United Kingdom, tiga (3) kes dari Amerika, dua (2) kes dari Nigeria, dua (2) kes dari Arab Saudi dan satu (1) kes dari Australia;
  • Sembilan (9) kes adalah warganegara Malaysia manakala dua (2) kes adalah warganegara Nigeria;
  • Lapan (8) kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori 2, dan tiga (3) lagi kes tidak bergejala;
  • Lima (5) kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam (6) kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.
  • Kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat.

Tujuh (7) lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandang ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan. Ini disebabkan tahap viral load yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima. Ketujuh-tujuh sampel didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam (6) sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu (1) sampel mempunyai CT value 28.47.

Ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes. Dalam pada itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada 17 Disember 2021 dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS). Maklumat lanjut mengenai perkara-perkara di atas akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

KKM juga ingin memaklumkan bahawa sebanyak 222 kes baharu varian dilaporkan daripada 11 Disember 2021 sehingga 17 Disember 2021. IMR telah mengenal pasti sebanyak 128 kes baharu yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu 117 varian Delta (B.1.617.2) dan 11 varian Omicron (B.1.1.529) (seperti dilaporkan di atas), manakala Malaysian Genome & Vaccine Institute (MGI) telah mengenalpasti sebanyak 48 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2). Di samping itu, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) juga telah mengenalpasti 46 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2).

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 5,213 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 5,193 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, bagi VOC terdapat sebanyak 4,933 kes varian Delta, 233 kes varian Beta, 14 kes varian Alpha dan 13 kes varian Omicron. Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa dan tiga (3) kes varian Eta.

Dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia ini, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 termasuk varian Omicron di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan di dalam komuniti. Justeru, KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia. Terus amalkan norma baharu dan pematuhan kepada SOP sedia ada.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

18 Disember 2021 @ 1:00 petang

Jadual 1: Maklumat Kes-Kes Omicron Yang dilaporkan pada 17 Disember 2021

KesBertolak Dari NegaraNegara TransitNegeri Daftar KesWarganegaraTarikh KetibaanCT ValueGejalaKategori
1United KingdomSingapuraSarawakMalaysia12 Disember 202116Ada2
2United KingdomSingapuraWP Kuala LumpurMalaysia12 Disember 202126.1Ada2
3United KingdomSingapuraWP Kuala LumpurMalaysia12 Disember 202126.41Ada2
4Amerika (USA)Doha, QatarSarawakMalaysia12 Disember 202128Tiada1
5Amerika (USA)Doha, QatarWP Kuala LumpurMalaysia11 Disember 202115.38Ada2
6Amerika (USA)Doha, QatarWP Kuala LumpurMalaysia11 Disember 201217.21Ada2
7NigeriaDoha, QatarWP Kuala LumpurNigeria11 Disember 202129.89Ada2
8NigeriaDoha, QatarWP Kuala LumpurNigeria10 Disember 202123.38Ada2
9Arab SaudiMale, MaldivesPerlisMalaysia10 Disember 202123.03Tiada1
10Arab SaudiTiada transitSelangorMalaysia12 Disember 202123.1Tiada1
11AustraliaSingapuraSelangorMalaysia11 Disember 202123Ada2