Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 20 Disember 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

20 DISEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 20 Disember 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 3,810 kes (2,638,191 kes kumulatif, 96.9%);
  • Kes baharu : 2,589 kes (2,721,544 kes kumulatif);
  • Kes import : 46 kes (35 warganegara; 11 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 2,543 kes [2,427 warganegara (95.4%); 116 bukan warganegara (4.6%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 379 kes (307 kes disahkan COVID-19; 72 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan:  210 kes (142 kes disahkan COVID-19; 68 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,082 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 3 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,831 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 251 kluster.

Daripada 2,589 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 66 kes (2.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 2,523 kes (97.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR DAN JANGKITAN COVID-19 DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan sehingga kini, kejadian banjir telah melanda lapan (8) buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Melaka.

Berikutan daripada banjir yang melanda, sebanyak 72 fasiliti kesihatan telah terjejas di mana 43 di negeri Pahang, 20 di Selangor, lapan (8) di Kelantan dan satu (1) di Negeri Sembilan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan (8) buah fasiliti kesihatan terputus hubungan namun masih beroperasi dan 21 buah fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi iaitu 20 di Selangor dan satu (1) di Negeri Sembilan.

1.0 PERKHIDMATAN PENJAGAAN PRIMER DI PUSAT PEMINDAHAN

Pasukan perubatan ditempatkan di PPS bagi memantau kesihatan mangsa-mangsa banjir. Sehingga tengah hari tadi, sebanyak 78 mangsa banjir telah diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar di PPS. Daripada jumlah tersebut, 13 kes dalam kategori penyakit berjangkit (lima (5) kes acute respiratory infection (ARI), lapan (8) kes skin infection) dan 65 adalah penyakit tak berjangkit. Tiada kes acute gastroenteritis (AGE), tifoid, kolera, hand foot mouth disease (HFMD), leptospirosis, denggi atau penyakit berjangkit lain dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir setakat ini.

2.0 PESAKIT BERISIKO YANG TERJEJAS BANJIR

Terdapat satu (1) kes ibu mengandung (antenatal). Tiada kes posnatal atau pesakit yang menjalani rawatan dialisis dilaporkan dari negeri yang dilanda banjir.

3.0  PERKHIDMATAN KESIHATAN DI PUSAT PEMINDAHAN

3.1 AKTIVITI KESELAMATAN BEKALAN AIR MINUM

Bagi memastikan sumber air adalah selamat untuk digunakan oleh mangsa banjir, sebanyak 70 aktiviti pengambilan sampel air dijalankan dan tiada pelanggaran terhadap parameter pH, klorin dan kekeruhan (NTU).

3.2  AKTIVITI KAWALAN VEKTOR

Aktiviti kawalan vektor yang dijalankan adalah bagi memastikan tiada penyakit bawaan vektor berlaku di PPS. Sebanyak 48 buah PPS telah diperiksa dan tiada tempat pembiakan Aedes dikesan. Sebanyak 427 bekas telah diperiksa dan tiada PPS disembur kabus.

3.3 AKTIVITI KESELAMATAN MAKANAN

Sebanyak 45 buah PPS dilawati dan didapati 34 buah PPS memuaskan dari segi premis penyediaan makanan.

3.4 AKTIVITI PENDIDIKAN KESIHATAN

Jumlah harian aktiviti pendidikan kesihatan di kawasan dilanda banjir yang dijalankan pada hari ini ialah enam (6) ceramah, 631 nasihat individu, 355 tunjuk cara, 21 perbincangan kumpulan, 14 banting, 96 poster, enam (6) banner dan 842 risalah diedarkan di kawasan banjir dan di kawasan dilanda banjir.

4.0 PEMATUHAN SOP PENGURUSAN COVID-19 DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA

Pengurusan mangsa banjir adalah mematuhi Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana dan Garis Panduan Pengurusan Bencana Semasa COVID-19.

KKM juga menjangkakan bahawa kemungkinan berlakunya peningkatan kes COVID-19 berikutan SOP yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya sewaktu proses menyelamat dilakukan. Walau bagaimanapun, KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai supaya:

  1. memaklumkan status risiko COVID-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan;
  2. sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
  3. sentiasa memakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan maklumkan kepada petugas atau pasukan perubatan di PPS sekiranya mengalami gejala COVID-19; dan
  4. elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir dan amalkan mencuci tangan menggunakan hand sanitizer atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi gunasama seperti tandas.

KKM telah menyediakan pasukan perubatan di PPS terutama di PPS yang besar, membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa-mangsa banjir di PPS. Ujian saringan COVID-19 dilakukan juga ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan awal jangkitan COVID-19 serta memastikan tiada penularan berlaku di PPS.

Memandangkan terdapat juga mangsa banjir yang telah mendapatkan perlindungan di masjid-masjid, stesen LRT, pusat membeli belah dan sebagainya, KKM ingin menasihatkan urusetia atau sukarelawan di pusat perlindungan tersebut agar dapat menjalankan ujian kendiri air liur RTK Ag kepada setiap individu yang berlindung dan mengasingkan kes yang dikesan positif COVID-19 secepat mungkin. Seterusnya, sila maklumkan  kepada Pejabat Kesihatan Daerah anda dengan menghubungi talian hotline yang disediakan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline supaya langkah pengesanan kontak rapat dapat dijalankan segera.

Keselamatan setiap individu yang terlibat dalam bencana banjir ini adalah yang paling utama. Justeru, KKM faham sekiranya pematuhan SOP kesihatan awam tidak dapat dipatuhi sepenuhnya sewaktu menyelamatkan nyawa, tetapi KKM berharap agar semua individu yang terlibat sama ada mangsa banjir, anggota sukarelawan atau anggota penyelamat dapat cuba mematuhi SOP sebaik mungkin untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 di PPS. Sehubungan itu, KKM akan terus memantau jangkitan COVID-19 di PPS dan melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa. Untuk maklumat lanjut mengenai pencegahan dan pengurusan COVID-19 di PPS, anda boleh merujuk Annex 41 di https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm atau https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm/ANNEX_41_GARIS_PANDUAN_PUSAT_PEMINDAHAN_SEMENTARA_MANGSA_BENCANA_BAGI_MENCEGAH_COVID-19_28112021.pdf .

Akhir kata, KKM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang saling berganding bahu tanpa mengira bangsa dan agama dalam menangani bencana yang melanda negara kini. Semoga Malaysia mampu bangkit dengan lebih teguh selepas cabaran ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM juga ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Patuhlah kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok. Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

20 Disember 2021 @ 7:30 petang.

LAMPIRAN 1

NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 19 DISEMBER 2021

NEGERINILAI RT
PAHANG1.00
PULAU PINANG1.00
NEGERI SEMBILAN0.99
TERENGGANU0.97
JOHOR0.97
WP KUALA LUMPUR0.97
PERAK0.96
MELAKA0.96
SELANGOR0.95
WP LABUAN0.95
PERLIS0.93
KEDAH0.90
KELANTAN0.90
WP PUTRAJAYA 0.89
SABAH0.84
SARAWAK0.74
MALAYSIA0.92