Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 21 Disember 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

21 DISEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 21 Disember 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 4,278 kes (2,642,469 kes kumulatif, 97.0%);
  • Kes baharu : 3,140 kes (2,724,684 kes kumulatif);
  • Kes import : 58 kes (51 warganegara; 7 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 3,082 kes [2,910 warganegara (94.4%); 172 bukan warganegara (5.6%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 353 kes (275 kes disahkan COVID-19; 78 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan:  189 kes (125 kes disahkan COVID-19; 64 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,086 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 4 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,839 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 247 kluster.

Daripada 3,140 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 64 kes (2.0 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 3,076 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR DAN JANGKITAN COVID-19 DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS)

Sehingga 21 Disember 2021, jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi di seluruh negara adalah sebanyak 456 iaitu 280 di Pahang, 128 di Selangor, 28 di Kelantan, sembilan (9) di Melaka, enam (6) di Negeri Sembilan, tiga (3) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan dua (2) di Perak. Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir pula adalah seramai 71,320 orang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan sehingga jam 12 tengahari 21 Disember 2021, terdapat penambahan sebanyak 86 kes positif COVID-19 telah dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 267 kes. Daripada 86 kes yang dilaporkan positif pada hari ini, sebanyak 75 kes telah dikesan melalui saringan kemasukan ke PPS, manakala sebanyak 11 kes lagi adalah kes COVID-19 yang sedia ada dan sedang menjalani kuarantin sebelum kejadian banjir. Setakat ini tiada kejadian kes positif COVID-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS. Kesemua 86 kes telah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain iaitu sembilan (9) kes di tempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), 12 kes di hospital, 62 kes di PPS kuarantin, dan tiga (3) kes menjalani kuarantin di rumah.

Selain kes COVID-19, kejadian banjir juga berisiko meningkatkan kejadian penyakit berjangkit yang lain seperti keracunan makanan [Acute Gostroenteritis (AGE), tifoid, dan kolera], Hand Foot Mouth Disease (HFMD), leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit, dan demam denggi. Sehingga 21 Disember 2021, sejumlah 203 kes ARI, 73 kes penyakit kulit, 19 kes AGE, 12 kes demam, dua (2) kes cacar air, dan 55 kes penyakit berjangkit lain yang melibatkan mangsa banjir telah dilaporkan ke Bilik Gerakan Banjir Kebangsaan. Walau bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, hand foot mouth disease (HFMD), leptospirosis, dan denggi yang dilaporkan sehingga kini.

KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa cakna akan risiko penyakit-penyakit berkaitan banjir yang mungkin terjadi dan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dengan sebaik mungkin dalam keadaan yang genting ini. Orang ramai dinasihatkan supaya:

  1. Memaklumkan status risiko COVID-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan;
  2. Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
  3. Sebaik boleh, berusaha untuk memakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal, dan maklumkan kepada petugas atau pasukan perubatan di PPS sekiranya mengalami gejala COVID-19;
  4. Elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir dan amalkan mencuci tangan menggunakan hand sanitizer atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi gunasama seperti tandas;
  5. Memakai kasut yang bertutup, seelok-eloknya kasut keselamatan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir;
  6. Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar; dan
  7. Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, dan juga individu yang mempunyai komorbiditi.

Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan termasuk fasiliti kesihatan swasta, perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan di atas, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan. Selain menggerakkan petugas perubatan dan kesihatan ke PPS, KKM juga giat menjalankan pemeriksaan keselamatan bekalan air minum, aktiviti kawalan vektor, pemeriksaan keselamatan makanan serta pendidikan kesihatan di PPS bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit yang berkaitan banjir.

KKM tidak menolak kemungkinan berlakunya peningkatan kes COVID-19 berikutan SOP yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya akibat bencana banjir yang melanda negara ini. Walau bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung. Untuk maklumat lebih lanjut dan kemas kini mengenai info bencana banjir, sila layari https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM juga ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Patuhlah kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok. Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 Disember 2021 @ 6:30 petang.

LAMPIRAN 1

NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 20 DISEMBER 2021

NEGERINILAI RT
PAHANG1.00
PULAU PINANG1.00
TERENGGANU0.99
WP KUALA LUMPUR0.97
NEGERI SEMBILAN0.96
JOHOR0.96
WP LABUAN0.96
PERAK0.93
SELANGOR0.93
MELAKA0.92
PERLIS0.92
KEDAH0.91
WP PUTRAJAYA 0.91
KELANTAN0.87
SABAH0.84
SARAWAK0.75
MALAYSIA0.91